Home > Berita Hiburan > Konsert Maher Zain di Istana Budaya

Konsert Maher Zain di Istana Budaya

Dengarnya: Keliru fasal konsert Maher Zain di IB

BARU-BARU ini teman sekerja hadir pada majlis sidang media mengumumkan program Istana Budaya (IB) sepanjang 2011. Biasalah, mereka juga mahu memaklumkan kepada umum program yang disusun sepanjang tahun ini.

Apabila sampai ke pejabat, Cik Normah tumpang sekaki membelek helaian demi helaian program yang disenaraikan untuk dipersembahkan di IB. Dalam khusyuk meneliti program berkenaan termasuklah teater, teater muzikal, konsert dan sebagainya, Cik Normah tertarik melihat agenda yang sudah pun disusun untuk 8 hingga 10 April.

Pada tarikh itu, penyanyi keturunan Lubnan dari Sweden, Maher Zain, dijadualkan muncul dalam persembahan yang dianjurkan Antipop Events.

Terus Cik Normah teringat kata-kata seorang wakil syarikat rakaman yang mengedarkan album penyanyi itu beberapa minggu lalu. Ketika itu, seorang rakan Cik Normah yang lain saja-saja cuba bertanya kepadanya, jika Maher kebetulan berada di Malaysia pada awal April, kerana ketika itu Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 akan berlangsung di Genting Highlands. Manalah tahu, kalau dia kebetulan berada di Kuala Lumpur, bolehlah kami mengundangnya sama untuk memeriahkan acara terbabit.

Bagaimanapun, selepas wakil berkenaan menyelidik, Maher dikatakan hanya singgah di ibu kota pada Februari, untuk menjayakan konsertnya di Stadium Malawati Shah Alam. Selepas itu, dia tidak menerima sebarang undangan sekitar April kerana ingin bersama-sama isteri yang bakal melahirkan anak pertama mereka.

Tup-tup, Cik Normah tengok, ada pula agenda yang meletakkan nama Maher dalam kalendar IB sepanjang tahun ini. Konsert itu pula pada April! Apa pula ceritanya ini?

Baru-baru ini, Maher datang lagi ke ibu kota untuk menjayakan persembahan amal dan mempromosikan konsertnya pada 25 dan 26 Februari nanti. Ketika itu, sekali lagi perkara sama ditanyakan kepada pihak pengurusannya, apakah persembahan di IB itu sememangnya diketahui mereka?
Cik Normah dengar cerita, pihak pengurusan penyanyi itu juga agak keliru dengan kewujudan program ini kerana mereka sendiri tidak mengetahui apa-apa fasal pembabitan Maher dalam persembahan di IB pada 8-10 April. seperti yang diberitahu sebelum ini, Maher memang ingin berada dekat dengan isterinya pada bulan terbabit.

Jadi, mereka sendiri terpinga-pinga, siapa pula yang mengaturkan persembahan Maher pada tarikh berkenaan di IB?

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.