Amy Search Asyraf Imam Muda raikan Maulidur Rasul
Amy Search Asyraf Imam Muda raikan Maulidur Rasul

SIAPA sangka juara program Imam Muda musim pertama Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan cukup meminati rocker terkenal, Amy Search. Pelawaan daripada Kosmo! untuk menggandingkannya bersama vokalis kumpulan Search itu sempena sambutan Maulidur Rasul diterima dengan penuh teruja meskipun diberitahu dalam masa yang agak singkat.
Kata Asyraf, dia sememangnya peminat Amy, justeru dapat bergambar dan bertandang ke rumah Amy tempat di mana lokasi sesi fotografi berlangsung tidak akan ditolaknya.
“Saya memang minat sangat dengan Amy Search. Lagu-lagu seperti Isabella dan Fantasia Bulan Madu merupakan lagu kegemaran saya,” cerita Asyraf yang memperlihatkan sisi lainnya.
Sambung anak kelahiran Pulau Pinang ini lagi, ramai lagi mereka yang bergelar ustaz minat dengan kumpulan legenda itu, bagaimanapun, dia tidak pernah berkunjung ke sebarang konsert Search.
“Saya tidak pernah hadir ke konsert mereka. Tetapi saya memang minat lagu-lagu Search. Sebab itu bila diberitahu saya bergandingan dengan Amy Search dan datang ke rumahnya pula, saya memang tidak sabar.
“Pertama kali bertemu dengan Amy ketika saya dijemput ke program Datuk Fazillah Kamsah pada bulan Oktober tahun lalu, waktu itu saya tidak sempat bertegur dengannya. Jadi, bila dapat bersemuka dengannya, memang saya tidak sangkalah,” luahnya penuh teruja.
Pagi Jumaat lalu, apabila mereka bertemu, biar untuk pertama kali, masing-masing teruja untuk bercakap tentang sambutan Maulidur Rasul yang jatuh pada hari ini.
Lebih menarik apabila kedua-duanya mempunyai persepsi tersendiri tentang sambutan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W itu dengan Hari Valentine atau hari kekasih yang jatuh pada setiap 14 Februari, iaitu semalam.
Berbanding meraikan ulang tahun kelahiran nabi, sambutan hari kekasih lebih diagungkan oleh kebanyakan orang di seluruh dunia.
Menurut Asyraf yang hari ini berada di Pulau Pinang sebagai tetamu jemputan untuk sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri, sambutan Maulidur Rasul seharusnya lebih disedari oleh golongan muda berbanding dengan Hari Valentine yang disambut oleh mereka yang beragama Kristian, semalam.
![]() |
|
AMY mengajak Asyraf untuk berduet dengannya jika juara Imam Muda itu boleh menyanyi.
|
Tambahnya, kerana promosi yang sangat meluas dan kerap menyebabkan Hari Valentine lebih popular disedari berbanding dengan Maulidur Rasul.
“Maulidur Rasul hari untuk umat Islam memperingati hari kelahiran Rasulullah. Setiap hari kita harus ingat dan simpan dalam hati, jasa dengan pengorbanannya. Kenapa Hari Velentine lebih dipromosikan sebab ramai orang dapat untung melaluinya seperti jual bunga dan hadiah.
“Tetapi Maulidur Rasul tiada apa yang boleh ditukarkan kecuali ingatan serta doa. Saya berharap orang muda terutamanya, sambut dan sedar mengenai Maulidur Rasul kerana ada antara mereka yang tidak tahu bagaimana untuk berselawat kepada nabi.
“Ingatan kepada Rasul bukan hanya pada hari sambutan Maulidur Rasul tetapi harus setiap hari. Kita kena tanamkan rasa cinta dan sayang kita kepadanya sebagai umat Islam kerana tanpanya umat Islam tidak akan wujud seperti hari ini,” katanya.
Sementara Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman pula, memberitahu, saban tahun dia akan meraikan ulang tahun kelahiran Rasulullah ini dengan caranya tersendiri.
Katanya, dia cukup banyak sejarah bersama kumpulan Rabbani. Jika dahulu, dia sering mengadakan persembahan sempena Maulidur Rasul bersama Rabbani dan ustaz Asri tetapi tahun ini dia tidak ke mana-mana.
“Saya banyak kenangan dengan ustaz Asri, dia mentor saya dan banyak memberi ilmu agama kepada saya. Sebab itu bila ada sahaja undangan untuk menyanyikan lagu-lagu ketuhanan, saya pasti teringatkan arwah,” bicaranya sambil menghela nafas panjang.
Bagi Amy, Maulidur Rasul merupakan bulan dakwah untuk umat Islam mengingati Rasul junjungan kerana Nabi Muhammad S.A.W meninggalkan impak yang besar dalam dunia Islam.
“Kita kena sambut Maulidur Rasul lebih besar daripada hari lahir kita sendiri kerana ia menginsafi diri kita bagaimana Islam itu tersebar. Sebagai umat Islam kita harus berbangga kerana mempunyai Nabi Muhammad S.A.W sebagai pemimpin,” terangnya bersungguh-sungguh.
Ucapnya lagi, sebagai seorang bapa kepada empat orang anak dia sering bercerita tentang Nabi dan Rasul kepada anak-anaknya sebagai cara untuk mereka mengingati dan menghargai Rasulullah.
“Saya sering berborak dengan mereka umpama bercerita kerana kanak-kanak suka dengan cerita. Bila mereka bertanya kita harus menjawab dengan sebaiknya. Itu antara cara saya menerapkan nilai-nilai cintakan Rasulullah kepada mereka,” katanya.
Berduet
![]() |
|
AMY dan Asyraf banyak berkongsi cerita tentang pengalaman mereka berkunjung ke tanah suci Mekah.
|
Selain berkongsi persepsi tentang sambutan Maulidur Rasul, bicara antara Amy dan Asyraf banyak tertumpu kepada topik haji dan umrah, memandangkan kedua-duanya telah menjejakkan kaki ke kota suci Mekah.
Asyraf ke Mekah mengerjakan haji pada musim haji yang lalu hasil hadiah kemenangan sebagai juara Imam Muda.
Sementara Amy, hampir saban tahun dia tidak akan pernah mahu melepaskan peluang menunaikan umrah.
Dalam rancak bertukar cerita tentang pengalaman masing-masing saat menjadi tetamu Allah, Amy tiba-tiba bertanya kepada Asyraf soalan yang tidak pernah terlintas di fikirannya.
Amy bertanya adakah lelaki muda yang warak itu mampu menyanyi. Soalan Amy disambut dengan malu oleh Asyraf: “Boleh, tetapi hanya suka-suka.”
Amy kemudian menjelaskan, dia bertanyakan soalan tersebut kepada Asyraf kerana sewaktu Ustaz Asri masih hidup, arwah merupakan rakan duet untuk lagu-lagu ketuhanan bersamanya.
Malah mereka sempat merakamkan duet lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur bersama Rabbani.
Kini, selepas Ustaz Asri meninggal dunia, dia sedang mencari calon yang sesuai untuk menjadi rakan duetnya untuk lagu berjudul Meniti Titian Usang.
Menurut Amy, sebelum ini dia pernah mendendangkan lagu itu dalam sebuah majlis bersama dengan Ustaz Asri, bagaimanapun, mereka tidak sempat merakamkan lagi tersebut memandangkan Allah lebih menyayangi Ustaz Asri.
“Muziknya sudah ada, cuma kami tidak sempat rakam sahaja. Pernah menyanyikan lagu itu dan ramai orang yang terpegun. Saya sendiri menggigil-gigil ketika menyanyi lagu itu. Kalau ada orang yang sesuai, Insya-Allah, saya akan rakamkannya kerana ia sebuah lagu yang cukup indah dan memberi keinsafan kepada saya,” tutur Amy.
Pelawaan Amy dibalas dengan huraian oleh Asyraf. Katanya: “Kalau diminta berduet dengan Amy Search memang saya tidak akan tolak.
“Tetapi ramai orang di luar sana yang tidak dapat terima seorang imam menyanyi. Bagi saya tidak ada masalahnya jika imam menyanyikan lagu-lagu ketuhanan. Jika peluang itu datang, saya akan terima dengan hati yang terbuka.”

