Archive

Archive for September, 2010

Homestay Sungai Pasu, Raub, Pahang

September 25th, 2010 1 comment

PROGRAM homestay hari ini cukup popular dan sentiasa menjadi rebutan apabila penganjuran program membabitkan aktiviti eko-pelancongan.

Penginapan ini kian menjadi pilihan mereka yang mencari alternatif kepada hotel atau chalet ketika bercuti.

Dalam tempoh yang singkat, pengunjung bukan saja dapat menyelami budaya dan cara hidup desa, malah menerima ‘ayah’ dan ‘ibu’ baru apabila menetap di rumah keluarga angkat mereka.

Ini memupuk semangat muhibah antara pengunjung dan penduduk kampung.

Homestay Sungai Pasu, Pahang, antara paling aktif di Malaysia, terletak kira-kira 15 minit perjalanan dengan jarak lima kilometer (km) ke Air Terjun Lata Jarum.

Kawasan rekreasi ini terletak dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Dong, mengambil masa lebih kurang 40 minit dari bandar Raub.

Keindahan landskap, keceriaan dan kebersihan seawal pintu masuk ke kampung ini benar-benar menimbulkan suasana damai dan memukau perasaan.

Sejak beroperasi, program menyediakan 30 bilik sudah menerima pelancong dari Eropah, Korea, Jepun dan Indonesia.

Penyelaras Homestay Sungai Pasu, Sumi Ngahdimi, berkata di samping mempamerkan pelbagai ciri kebudayaan setempat, ia turut mengetengahkan produk industri kecil dan sederhana (IKS) termasuk makanan dan kuih tradisional.

“Kebanyakan pengunjung lebih suka menginap di homestay kerana mereka berpeluang mengikuti dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan menerusi pelbagai pakej ditawarkan,” katanya.

Homestay Sungai Pasu menyajikan pelancong dengan suasana kehidupan desa dengan majoriti penduduk berketurunan Jawa dan menetap di Raub melebihi setengah abad.

Mereka juga akan dibawa melawat perkampungan Orang Asli keturunan Cik Wong yang masih mengamalkan cara hidup yang diwarisi sejak zaman berzaman.

Selain menyertai tarian sewang, pengunjung diajak mencuba sumpitan, alat berburu masyarakat Orang Asli.

TARIKAN

>Aktiviti termasuk melawat projek ternakan ikan air tawar dan lembu, mempelajari kaedah menoreh getah, melawat lokasi bersejarah, demonstrasi membuat kuih tradisional dan menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti majlis perkahwinan.

>Tetamu juga dibawa merasai kedinginan air di Air Terjun Lata Jarum dan jika bernasib baik berpeluang melihat bunga terbesar, bunga pakma atau rafflesia. Anda juga boleh singgah untuk berkelah di Pusat Reksreasi Pulau Chekas.

>Selain itu, anda boleh mencuba aktiviti sukan air seperti berakit, berkayak dan ‘flying fox’ di Taman Tasik Sungai Pasu dan melihat projek tanaman bunga melur di kawasan seluas 2.8 hektar. Lawatan juga diatur ke Pusat Perlindungan Gajah dan Deerland.

INFO
Homestay Sungai Pasu
JKKK Kampung Sungai Pasu
27600, Raub, Pahang
Tel: 019-3142558
Faks: 09 3659581
E-mel: sumi_ngahdimi@yahoo.com

Langkawi, Kedah

September 18th, 2010 1 comment

SEJAK dianugerahkan status pulau bebas cukai, Langkawi melonjak menjadi destinasi percutian antarabangsa yang terkemuka.

Ada yang datang sekadar mahu mencari rokok dan pinggan mangkuk murah, tak kurang juga mahu bersantai menghayati keindahan alam semula jadinya.

Pulau ini sekali lagi mencuri tumpuan apabila menerima status Geopark yang dikurnia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), beberapa tahun lalu.

Pemandangan indah 99 pulau yang membentuk gugusan Langkawi akan dapat disaksikan jika singgah di Oriental Village apabila mahu menaiki kereta kabel ke puncak Gunung Machincang.

Perjalanan ke puncak akan melewati air terjun Telaga Tujuh dan pemandangan indah Laut Andaman.

Namun, kebanyakan pelancong lebih bertumpu ke Pantai Chenang untuk rekreasi air, hiburan malam atau sekadar bersantai di persisiran pantai.

Terlanjur ke sini, singgah ke Underwater World untuk melihat lebih 5,000 jenis ikan dan lebih 500 spesies haiwan termasuk anjing laut dan singa laut.

Pantai Chenang turut terkenal dengan deretan restoran makanan laut dan kompleks beli-belah bebas cukai. Tidak jauh dari kawasan pantai, anda akan menemui Laman Padi yang menjadi destinasi mempelajari teknik penanaman padi dari zaman tradisional hingga ke zaman moden.

Namun, jika mahu beli-belah sakan, anda boleh menyusuri Pekan Kuah untuk mendapatkan pelbagai barangan dari pinggan mangkuk, rokok, coklat sehingga produk makanan laut.

Jeti Kuah turut menawarkan pelbagai produk, namun agak mahal jika dibandingkan dengan kawasan pekan.

Pantai Tengah, Pantai Kok, Pantai Pasir Tengkorak, Teluk Datai dan Tanjung Rhu menyediakan pilihan alternatif kerana kurang dikunjungi.

Justeru, anda tidak perlu bersesak-sesak dengan pelancong asing, malah pemandangannya lebih menarik berbanding di pantai Chenang.

Tidak lengkap kunjungan ke Langkawi jika tidak menyusuri hutan paya laut di Kilim sambil menjenguk ladang ternakan ikan sangkar dan mencuba aktiviti memberi makan helang. Pakej khas turut membawa pengunjung ke Pulau Dayang Bunting yang terkenal dengan mitosnya.

Sebaik pulang ke jeti Kilim, jangan lupa singgah ke Galeria Perdana yang menempatkan pelbagai bentuk cenderahati dan anugerah diterima mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Teluk Datai pula menempatkan tarikan ladang buaya dengan lebih 1,000 hidupan itu termasuk spesies yang sukar ditemui. Selain mempelajari kitaran hidup buaya, pengunjung juga dapat menyaksikan pekerja memberi hidupan makan dan aksi ganasnya dalam persembahan.

TARIKAN LAIN

>Dataran Lang berhampiran dengan pekan Kuah menempatkan replika helang setinggi 12 meter sebagai mercu tanda yang dibina khusus untuk memperingati asal nama Langkawi.

>Kota Mahsuri terletak 12 kilometer dari pekan Kuah menempatkan sejarah Mahsuri, muzium dan makam legenda tersohor itu.

>Taman Laut Pulau Payar menjadi lokasi terbaik untuk aktiviti snorkling kerana kaya dengan khazanah dasar lautnya.

Categories: Travel Tags: , ,

Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, Kelantan

September 4th, 2010 27 comments

MENJELANG senja, ruang lobi Hotel Grand Riverview, Kota Bharu berhampiran Rivera Cafe bertukar warna keemasan apabila disimbah cahaya matahari terbenam.

Suasana itu membuatkan tetamu hotel di tebing Sungai Kelantan tidak jemu menyaksikan pemandangan indah sepanjang menginap di situ.

Adakalanya sungai lebar dengan arus air berwarna keruh itu digegarkan dengan aksi pemain jet ski yang gemar memberikan persembahan percuma pada petang hari.

Ini memberi landskap menarik kepada negeri yang terkenal dengan adat warisan seperti songket tenun, batik dan wau bulan ini.

Pengurus Besarnya, Patrick Cheng, berkata mereka yang pertama kali menjejakkan kaki pasti terpesona cara hidup warga negeri Cik Siti Wan Kembang yang relaks, tanpa terkejar-kejar seperti di kota besar.

“Inilah kelebihan apabila berkunjung ke negeri di pantai timur,” katanya.

Dengan hanya berjalan kaki di tebing sungai, pengunjung dapat kesan kubu konkrit yang digunakan askar British sewaktu Perang Dunia II.

Di Padang Merdeka, memorial khas dibina bagi memperingati pejuang negara yang gugur ketika Perang Dunia I.

Kawasan ini terletak berdekatan dengan Balai Getam Puri dan Istana Balai Besar.

Pengunjung hanya perlu berjalan kaki untuk ke Masjid Al-Muhammadi, masjid negeri yang pernah melahirkan banyak tokoh agama utama di rantau Nusantara.

Pasar Siti Khadijah dan Bazar Buluh Kubu terletak dalam kawasan sama, popular untuk membeli-belah.

Cheng berkata, lebih 90 peratus tetamunya warga tempatan. Justeru, pengurusan mengekalkan nama tempatan sebagai satu mengangkat martabat seni warisan di negeri itu.

Ini dapat dilihat menerusi nama seperti Putri Sa’adong, Sekebun Bunga, Wau, Selampit dan Rebana pada dewan utama dan bilik mesyuarat.

Grand Riverview mengadakan bufet buka puasa pada harga RM52 (dewasa) dan RM23 (kanak-kanak).

Kuliah hariki diadakan 45 minit sebelum waktu berbuka puasa setiap hari.

INFO
Hotel Grand Riverview
Jalan Post Office Lama
Kota Bharu, Kelantan
www.grh.com.my
Tel: 09-7439988