Archive

Archive for August, 2010

Naza-Talyya Hotel, Jalan Tenteram, Tanjung Puteri, Johor Bahru

August 28th, 2010 2 comments

SETIAP kali waktu berbuka puasa, pasti ramai mengeluh terpaksa mengejar masa pulang ke rumah atau sibuk mencari tempat sesuai untuk berbuka puasa bersama keluarga.

Jika mahu menikmati juadah citarasa Mediterranean, Naza-Talyya Hotel adalah pilihan tepat.

Berkonsepkan hidangan mewah Mediterranean, pelanggan dihidangkan kira-kira 40 juadah setiap hari termasuk pilihan sajian tempatan.

Hotel ini satu-satunya lokasi yang menawarkan sajian Mediterranean sebagai pilihan juadah berbuka sekitar Johor Bahru.

Antara resipi Mediterranean yang menjadi sajian ialah dauud basha (bebola daging dalam sos tomato), rose lamb, baklava (pencuci mulut walnut), seafood pilaf, mujaddara dan nasi Morocco.

Bagaimanapun, masakan tradisional Malaysia turut mendapat tempat di meja hidangan seperti rendang daging, ayam lemak cili api, otak-otak ikan, rojak, ulam-ulaman, ikan bakar dan air asam serta pelbagai kuih-muih.

Chef Eksekutif Korporatnya, Mohd Shokri Abdul Ghani berkata, promosi bufet berharga RM40 dan potongan 50 peratus diberikan untuk kanak-kanak serta warga emas.

Hidangan berbuka puasa itu turut menerima sambutan baik warga Singapura.

“Gandingan masakan Mediterranean dan tempatan pasti memberi pilihan yang lebih kepada pelanggan.

“Pelanggan boleh mencuba pelbagai sajian istimewa yang tiada di kebanyakan hotel sekitar Johor Bahru dalam suasana berbeza,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Hotel, A M Shaufi, berkata promosi berbuka puasa tahun ini agak berlainan berbanding tahun sebelumnya.

“Ini adalah kali pertama pihak hotel tampil dengan sajian Mediterranean untuk Ramadan,” katanya.

Shaufi berkata, selain sajian istimewa, pihaknya turut menawarkan pakej penginapan di hotel dengan harga dari RM98 untuk bilik sahaja dan RM130 untuk penginapan termasuk hidangan berbuka puasa.

“Di Naza-Talyya Hotel, kita menjanjikan pakej penginapan selesa dengan mood tersendiri, gaya hidup mewah namun boleh dikecapi semua golongan dan peringkat tetamu yang bertandang.

“Lebih menarik, pakej sebegini tidak hanya menjanjikan layanan dan ketenangan hidup, malah mampu memberi rangsangan kepada individu yang sedia terbeban untuk menyempurnakan perihal perniagaan dengan lebih teratur dan efisien,” katanya.

Diiktiraf sebagai hotel berstatus tiga bintang, Naza-Talyya Hotel tetap berdiri gah sebagai penyumbang nadi kota di Jalan Tenteram, Tanjung Puteri, Johor Bahru.

Lokasinya cukup strategik kerana terletak berdekatan pusat beli-belah City Square, Kotaraya, Plaza Pelangi dan Giant Leisure Mall dengan jarak perjalanan tidak sampai 10 minit dari hotel.

Sebarang pertanyaan dan tempahan boleh dibuat menerusi talian 07-2227788 atau faks 07-2237788 atau e-mel kepada norzaki@naza.com.my.

Kota Kinabalu, Sabah

August 21st, 2010 2 comments

SEBUT saja Sabah, pasti terbayang Gunung Kinabalu yang menjadi puncak tertinggi di Borneo. Pulau Sipadan pula sudah menempa tempat di peta pelancongan antarabangsa apabila dijulang sebagai antara lima lokasi selam skuba terbaik dunia.

Namun, Kota Kinabalu atau KK yang menjadi pintu masuk utamanya turut menjanjikan percutian santai dengan tarikan alam semula jadinya. Malah, kebanyakan daripadanya terletak tidak jauh dari pusat bandar terutama mereka yang bukan kalangan pendaki atau kaki selam skuba.

Tempoh paling menarik untuk mengunjungi negeri ini adalah sekitar pertengahan Mei apabila Tadau Kaamatan disambut penduduk Kadazan Dusun. Inilah masanya untuk melihat tradisi bobohizan atau bomoh wanita dan persembahan tarian untuk memuja semangat padi.

Penduduknya seramai dua juta orang terbahagi kepada 30 etnik yang bertutur dalam 80 dialek tempatan. Jangan terkejut jika ada antara penduduk di sini walaupun sesama jiran, tidak memahami bahasa Iranum atau Rungus, Kadazan, Bajau dan Murut

Kepelbagaian budayanya turut merangkumi masyarakat Bajau Laut dan komuniti Filipina yang datang dari pulau paling selatan negara itu. Ini dapat dilihat jika singgah di Pasar Filipina yang terkenal dengan deretan gerai menjual mutiara Sabah, bersebelahan pasar ikan.

Sabah memiliki kelebihan berbanding negeri jiran apabila memiliki persisiran pantai melebihi 1,000 kilometer (km), bersempadan Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi. Warganya prihatin dengan kebersihan yang boleh dilihat di pantai dan kompleks beli-belah yang bebas sampah.

Memandangkan tujuan kunjungan singkat adalah untuk membuat liputan Promosi Kraftangan Kraf dan Tenun atas jemputan Kraftangan Malaysia, penulis memanfaatkan waktu terluang untuk meneroka tarikan pelancongan di KK.

Pantai Tanjung Aru, kira-kira enam km dari lapangan terbang menjadi tumpuan dengan kemudahan taman rekreasi dan keenakan makanan lautnya sejak 1960-an. Pantai sepanjang dua km ini meliputi tiga bahagian menganjur ke kawasan berhampiran Shangri La Tanjung Aru Resort.

Setiap pagi dan petang, pantai ini sering dijadikan lokasi aktiviti sukan seperti berjoging, menunggang kuda dan bola pantai dan ada kalanya dipilih sebagai lokasi latihan dan perlumbaan perahu layar anjuran Persatuan Kapal Layar Sabah.

Manakala, Anjung Selera juga sentiasa sesak dengan kunjungan warga tempatan yang mahu menikmati makanan laut segar, sate, masakan claypot, atau sekadar bersantai sambil menghisap shisya dengan dibuai bayu Laut Cina Selatan.

Perjalanan ke pinggir KK melalui jalan persisir pantai pada waktu malam menjanjikan pengalaman menarik. Ini apabila melewati pelabuhan, Masjid Bandaraya, Menara Tun Mustapha yang turut memiliki tarikan restoran berputar di tingkat atas dengan pemandangan Teluk Likas.

Mengikut rakan wartawan di Sabah, pengurusan Masjid Bandaraya turut membela ikan di kolam yang mengelilinginya sebagai antara sumber pendapatan sampingannya. Ia ternyata memberikannya tarikan apabila ada warga Aceh yang datang semata-mata untuk mempelajari usaha masjid ini.

Di pusat bandar, jangan lupa singgah di pasar kraftangan atau pasar setiap Ahad, Gaya Street untuk mendapatkan cenderamata etnik, buah-buahan dan produk makanan laut serta kerepek perusahaan kampung atau yang diimport dari negara jiran.

Kawasan ini berdekatan Waterfront yang meriah dengan deretan restoran, kafe dan pusat hiburan. Selain itu, zon sama padat dengan kompleks beli belah termasuk Centre Point, Wisma Merdeka, Warisan Square, Plaza Wawasan, Kompleks Asia City, City Mall, KK Plaza,

Tidak jauh dari situ, Jesselton Point menjadi pintu masuk ke Taman Laut Tunku Tunku Abdul Rahman. Hanya 20 minit perjalanan bot, pengunjung dapat menikmati keindahan lima pulau Manukan, Mamutik, Gaya, Sapi dan Sulug yang diwartakan sebagai taman laut pada 1974.

Jika bukan peminat selam skuba, anda masih boleh mencuba snorkling dengan menyewa topeng dan ‘google’ yang disewa dengan harga antara RM10 dan RM15. Cara lain termasuk submarin iaitu bersiar-siar menikmati keindahan dasar laut pada kedalaman sehingga lima meter (m).

Info

>Taman Negara Kinabalu, 90km dari KK menjadi tumpuan dengan puncak ketiga tertinggi di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu dan tarikan kolam air panas.

>Menara jam, Atkinson Clock Tower berhampiran Bandaran Berjaya dibina Mary Edith Atkinson pada 1905 bagi memperingati anaknya, Francis George Atkinson.

>Petagas War Memorial dibina bagi memperingati perjuangan mempertahankan tanah air daripada serangan Jepun pada 1944 kini turut menjadi tumpuan pelancong.

>Monumen Double Six di Sembulan pula sebagai memperingati nahas kapal terbang yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah pertama, Tun Fuad Stephens pada 6 Jun 1976.

RUJUKAN PERCUTIAN

Lembaga Pelancongan Sabah

E-mel: info@sabahtourism.com

www.sabahtourism.com

Tourism Malaysia

Talian Pelancongan: 1-300-88-5050

E-mel: enquiries@tourism.gov.my

www.tourism.gov.my

Categories: Travel Tags: , ,

Hard Rock Hotel Pulau Pinang

August 14th, 2010 No comments

PELETAKAN ikon gitar gergasi setinggi enam meter di Hard Rock Hotel Pulau Pinang, baru baru ini menandakan penginapan antarabangsa itu bakal membuka pintunya di Pulau Mutiara.

Menjadi ikon wajib di semua rangkaian hotel bawah jenama global itu, acara itu dimeriahkan dengan perarakan 190 kakitangannya hotel itu di pantai Batu Feringgi.

Hotel ini bakal memiliki lebih 500 memorablia atau koleksi barangan artis antarabangsa meliputi pakaian, alat muzik, seni dan rakaman melangkaui dekad dan irama.

Ini termasuk jean Aerosmith; gitar Lucite Precision daripada The Who; gitar bass Red Framus Star (Rolling Stones); album anugerah emas Hotel California, The Eagles dan potret Chuck Berry.

Turut mendapat tempat, artis tempatan yang pernah meraih pelbagai pengiktirafan iaitu ratu rock negara, Ella dan Zainal Abidin, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Hijau’.

Pengurus Besarnya, John Primmer, berkata hotel ini bakal menjadi hotel berkonsepkan hiburan paling hip dan tarikan peminat rangkaian Hard Rock Cafe.

Apabila membuka pintunya, ia bakal menawarkan percutian penuh glamor buat pengunjung dengan tarikan pantai dan hiburan sepanjang masa.

Katanya, pakej istimewa ditawarkan pada harga serendah RM368 untuk Hillview Deluxe dan dari RM418 untuk Seaview Deluxe bagi penginapan antara 19 September dan 18 Disember depan.

Ia meliputi penginapan satu malam, sarapan untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak bawah 12 tahun dan cenderahati rekod platinum edisi terhad.

“Di Hard Rock Cafe Pulau Pinang, kami turut menawarkan layanan dan hiburan kelas pertama bagi mereka yang mahu menikmati gaya hidup seperti bintang,” katanya

Info

>Hard Rock Hote pertama negara ini tampil dengan muka bangunan dengan seni bina berstruktur menerapkan unsur ‘rock’ dan ‘edgy’. Ia memiliki kolam renang terbesar di pulau itu seluas 26,000 kaki persegi dan peluang belajar ‘mixing’ seperti deejay.

>Sebelum melepak di Hard Rock Cafe, anda boleh mencuba hidangan menu asli Amerika Syarikat, Starz Diner atau Pizzeria tepi kolam untuk hidangan tempatan dan antarabangsa. Atau sekadar bersantai di The Shack, Rock Spa, gimnasium Body Rock atau kedai barangan Hard Rock.

>Hard Rock Hotel Pulau Pinang dan Hard Rock Cafe Pulau Pinang akan membuka pintunya pada 19 September 2009. Maklumat lanjut, layari www.hardrockhotels.net atau hubungi 04-881 1711.