Archive

Archive for July, 2010

Tasik Temenggor Discovery Island, Pulau Banding, Grik, Perak

July 31st, 2010 18 comments

JIKA tidak bertemu pekerja membaiki jalan ketika gundah mencari arah ke Pulau Banding, Grik, Perak mungkin kami tidak sempat berada di jeti untuk mengejar bot ke pusat peranginan di pulau kecil di Tasik Temenggor itu, pada waktu yang ditetapkan.

Apa tidaknya, tiada satu pun papan ke tasik ini kami temui walaupun hampir setengah jam meninggalkan pekan Grik. Hanya pemandangan hutan tebal, lori dan bas ekspres yang menjadi pengguna utama lebuh raya menghubungkan pantai timur dan barat Semenanjung itu.

Dari jeti awam di Pulau Banding, kami dibawa menaiki bot selama sejam bersama sekumpulan pelajar institut pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk ke penginapan kami selama tiga hari berikutnya, Tasik Temenggor Discovery Island (TTDI).

Menariknya, ia terletak di pulau kecil di tengah tasik seluas 15,200 hektar jauh di tengah hutan belantara di bahagian Hutan Belum. Jika ada penempatan terdekat pun, ia mungkin perkampungan Orang Asli yang masih mengamalkan ke hidupan tradisional.

Justeru, percutian ke TTDI bakal membawa tetamu kembali kepada kehidupan bersandarkan keperluan asas manusia. Kemudahan moden seperti televisyen, penyaman udara, pengering rambut dan akhbar tidak disediakan. Bekalan elektrik dan liputan telefon bimbit juga terhad.

Tasik ini menjadi komponen utama kompleks Belum-Te mengor (BT) yang merangkumi Perak sehingga ke selatan Thailand. Dengan keluasan melebihi 300,000 hektar atau empat kali saiz Singapura, usianya melebihi 130 juta tahun, lebih tua jika dibandingkan dengan Hutan Amazon atau Congo.

Kaya dengan kepelbagaian biodiversiti, ia menjadi habitat semula jadi kepada lebih 3,000 spesies tumbuhan berbunga, 270 spesies burung dan lebih 100 spesies mamalia termasuk gajah Asia, harimau Malaya, badak Sumatera, tapir, beruang matahari atau madu dan harimau bintang.

Jika tidak pernah mengenal pokok meranti, cengal, keruing dan merbau, inilah masanya untuk menyaksikan kayu balak yang menjadi komoditi berharga. Selain halia dan orkid liar, hutan ini turut memiliki tarikan bunga terbesar dunia iaitu bunga padma atau rafflesia.

Namun, kunjungan kali ini tidak memuatkan aktiviti per khemahan dalam hutan atau merentas denai bagi me nyaksikan zon tapak haiwan liar seperti gajah, harimau dan beruang di Sira Gajah dan Sira Tersau, jauh di tengah Belum.

Sebaliknya, lawatan ke TTDI kali ini lebih memfokuskan acara bebas dan santai, tanpa terikat dengan atur cara padat. Seperti kata pemiliknya, pusat peranginan itu menawarkan konsep percutian santai sambil dikelilingi kehijauan alam sesuai untuk warga kota yang mahukan ketenangan.

TTDI adalah kesinambungan kepada penginapan rumah bot yang dijual pemiliknya, Steve Kong sebagai pakej per cutian sekitar 1990-an. Sehingga kini, bot dilengkapi ruang rehat dan tandas yang berlabuh berhampiran pulau itu masih popular dalam kalangan tetamu terutama warga asing.

Apa yang menunggu tetamu adalah penginapan chalet berdepan pemandangan indah Tasik Temenggor. Kong sen tiasa memantau secara dekat dengan mengawal selia aspek pembinaan bagi memastikan idea atas kertas dapat di laksanakan mengikut impian asalnya.

“Kami tidak menanam cerucuk sehingga menjejaskan tanah atau memotong pokok hutan yang berusia ratusan tahun. Semuanya dibuat langkah demi langkah bagi menjaga kha zanah alam semula jadi,” katanya.

Menariknya, ia tidak memiliki lobi, sebaliknya pengunjung dari bot akan dibawa ke bangunan utama dua tingkat menempatkan kafe, dapur dan ruang makan. Tiada kipas atau penyaman udara, manakala hanya dinding kaca memisahkan ruang dalam dan hutan.

“Saya pernah melihat hidupan liar seperti ular menyeberangi tasik, namun tidak akan membunuhnya jika ia singgah ke pulau ini. Jika terserempak dengan ular, kita akan tangkap dan buang semula di pulau berhampiran,” katanya

Petang pertama, kami ke Pulau Talikail sebelum mendaki hampir sejam untuk ke menara tinjau. Pendakian yang ada kalanya agak curam sehingga memaksa ahli kumpulan ber paut pada tali melalui cerun bukit membuat ada yang ‘pancit’ di tengah jalan.

Namun, semuanya berbaloi apabila menyaksikan peman dangan indah di puncak pada ketinggian melebihi 1,200 meter dari paras laut bagi menyaksikan pulau kecil yang bertaburan. Menariknya, kebanyakan pulau tidak ada nama, tetapi digelar berdasarkan objek yang ada di daratannya.

Pulang ke chalet, kebanyakan tetamu tidak melepaskan peluang berkayak mengelilingi pulau atau sekadar bersantai di anjung berdepan pemandangan indah tasik. Dari pelantar di tingkat dua rumah bot pula, ramai yang terjun untuk menikmati kedinginan air tasik.

Ada beberapa tali panjang diikat pada rumah bot dan dahan pokok hutan yang kelihatan pada permukaan tasik, menjadi sokongan buat mereka yang tidak tahu berenang. Dahan berlumut itu pula menjadi tempat berehat apabila sudah penat berenang.

Sesekali, timbul perasaan seram apabila memikirkan hi dupan yang mendiami air tasik terutama apabila berenang walaupun sudah lewat petang. Namun, semuanya se akan-akan hilang apabila tetamu lain juga turut sama be rendam.

Hari kedua diteruskan dengan aktiviti merentas denai di Kem Sungai Enam yang kini dijadikan tapak perkhemahan dan santuari ikan kelah. Ada banyak denai yang boleh diikuti untuk sampai ke air terjun bergantung kepada stamina pengunjung.

Menurut Kong, jika bernasib baik, pengunjung akan ter serempak haiwan seperti gajah atau harimau yang minum air tasik selain melihat pelbagai spesies haiwan dan burung yang dikategori terancam, hidup aman tanpa diganggu aktiviti manusia.

Namun, ia tidak dapat menandingi perasaan teruja untuk melihat rafflesia yang tumbuh liar, pada hari terakhir kun jungan. Namun, ia bertukar hampa apabila menyaksikan bunga terbesar dunia ini belum berkembang.

Siapa tahu, tuah menyebelahi kami pada kunjungan akan datang!

Info

> Borneo hanya memiliki lapan spesies enggang, namun di kompleks hutan BT, ada 10 spesies burung ini. Menurut Persatuan Pencinta Alam Malaysia, hutan ini menjadi lokasi terbaik untuk menyaksikan hidupan itu dalam habitat semula jadinya.

> Kaki pancing pasti menyukai tasik ini yang terkenal dengan toman, sebarau, tenggalan, baung dan kelah. Anda boleh menyewa peralatan dan bot daripada pengurusan pusat peranginan. Jika tidak pun, anda boleh memacakkan joran di pinggir tasik.

PENGINAPAN
Tasik Temenggor Discovery Island
Tel: 016 2626 741
www.temenggor.com

RUJUKAN PERCUTIAN

Tourism Malaysia
Talian Pelancongan: 1-300-88-5050
E-mel: enquiries@tourism.gov.my
www.tourism.gov.my

Chalet Air Panas Pengkalan Hulu

July 24th, 2010 No comments

HANYA lima kilometer daripada sempadan Malaysia-Thailand, Chalet Air Panas Pengkalan Hulu (CAPPH) menjadi tumpuan penduduk tempatan merasai pengalaman berendam dalam kolam air panas semula jadi.

Mereka boleh melakukan pelbagai aktiviti yang disediakan pengurusan chalet, antaranya meneroka Gua Gendang berhampiran dan meronda bandar Betong di selatan Thailand untuk membeli-belah.

CAPPH juga menawarkan penginapan selesa, dewan seminar yang luas dan bilik mesyuarat dilengkapi pelbagai kemudahan audio visual. Ada tiga bilik seminar dan satu bilik mesyuarat yang sering mendapat tempahan dari jabatan kerajaan dan swasta.

Pengurusnya, Noriha Ahmad, berkata chalet yang dahulu diuruskan Majlis Daerah Pengkalan Hulu (MDPH) itu adalah penginapan kolam air panas dan menjadi tumpuan warga tempatan terutama pada cuti hujung minggu.

“Sejak menguruskan chalet ini, tempahan orang ramai terutama agensi kerajaan dari Perak dan tempat lain amat memuaskan.

“Selain bersantai di kolam air panas, mereka boleh menyeberang sempadan untuk membeli-belah. Ada datang semata-mata mencuba air panas yang dikatakan mujarab untuk mengubat beberapa jenis penyakit,” katanya.

Noriha berkata, sebagai daerah yang bersempadan dengan Thailand, Pengkalan Hulu adalah daerah yang unik dengan persekitaran semula jadi dikelilingi banjaran pergunungan, sekali gus sesuai dijadikan destinasi percutian di utara tanah air.

Menurutnya, harga chalet yang ditawarkan untuk sehari semalam murah dan berpatutan dengan mempunyai tiga pakej iaitu chalet biasa (RM80 sehari), chalet VIP (RM100) manakala chalet Kenanga pula ialah RM130 sehari.

“Chalet VIP dan Kenanga ini mempunyai kemudahan ruang tamu yang dilengkapi dengan kusyen, kipas angin dan penyaman udara, televisyen astro dan ruang kopi manakala bilik biasa mempunyai satu ruang tamu, kipas, kusyen, satu bilik air dan dua bilik dengan penyaman udara,” katanya.

Noriha berkata, kemudahan lain di CAPPH ialah surau, dewan makan, kafetaria, bilik karaoke, Internet dan beberapa set komputer untuk mereka yang menempah bilik seminar.

“CAPPH bukan saja sesuai untuk mereka yang mahu mengadakan seminar atau mesyuarat, tetapi juga untuk sekeluarga atau individu untuk menikmati kedamaian dan keunikan kolam air panas,” katanya.

Tetamu chalet, Nazzatul Balkis Yamin, 20, berkata dia memilih menginap di CAPPH kerana mahu berendam di kolam air panas dan berehat di bilik yang selesa bersama keluarga.

“Kami sekeluarga biasa menempah bilik di chalet ini kerana dapat berendam di kolam air panas dengan selesa kerana ia tidak dibuka kepada orang ramai, selain itu tempat ini begitu mendamaikan manakala biliknya dilengkapi pelbagai kemudahan,” katanya.

Pulau Pinang & Kedah

July 17th, 2010 No comments

PULAU PINANG

SUATU ketika dulu, ia pernah menerima jolokan Pulau Mutiara Timur, hari ini Pulau Pinang terkenal dengan pemilihan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia. Status itu dianugerahkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Sejarahnya yang melangkaui abad dapat dilihat menerusi tinggalan seperti Kota Cornwallis, Masjid Melayu Lebuh Acheh, Kuil Sri Maha Mariamman, Masjid Kapitan Keling dan Kongsi Khoo, yang boleh dihayati berpandukan Jejak Warisan Pulau Pinang.

Kota Cornwallis yang dibina pada 1786 pernah menjadi kubu pertahanan dan pusat pentadbiran penjajah turut menempatkan gereja kecil, penjara, dan rumah api di tengah pusat bandar. Kota ini turut memiliki meriam Belanda, Seri Rambai yang pernah bertukar tangan beberapa kali.

Kemasyhuran pedagang kaya, Syed Al-Attas dapat disaksikan pada tinggalan banglo dua tingkat, manakala di depannya pula, Masjid Melayu Lebuh Acheh. Muzium Peranakan Pulau Pinang pernah menjadi kediaman Kapitan Chung Keng Kwee, ketua puak Hai San, yang terbabit dalam Perang Larut antara 1860-an dan 1884.

Kongsi Khoo berusia lebih 100 tahun di Lebuh Cannon pula membawa pengunjung mengembara ke Dinasti Ching dengan reka bentuk bangunannya seperti perkampungan Cina pada abad ke-19.

Kuil dalam kongsi ini pernah diabadikan dalam satu babak filem Hollywood, lakonan Jodie Foster pada 1999.

Pantai Batu Feringgi, tumpuan utama pelancong yang mahu menikmati makanan dan membeli-belah kini menerima tarikan antarabangsa dengan pembukaan Hard Rock Hotel Pulau Pinang. Pencinta alam pula meneroka keindahan Taman Negara Pulau Pinang.

KEDAH

PEKAN Rabu destinasi wajib jika berkunjung ke Alor Star. Terletak di Jalan Tuanku Ibrahim, ia menjual pelbagai barangan daripada pakaian dari Thailand dan cenderamata kraftangan serta kuih tradisional

Ibu negeri Kedah ini turut memiliki warisan bangunan bersejarah seperti Masjid Zahir yang dipercayai antara masjid tertua negara, dibina pada 1912. Seni binanya yang unik diilhamkan daripada Masjid Azizi, dibina di bandar Langkat, utara Sumatera.

Istana Besar yang dibina Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Shah pada 1735 pula menjadi lokasi upacara rasmi kerajaan termasuk perkahwinan diraja dan persidangan dewan undangan negeri antara 1905 hingga 1973.

Muzium Diraja Kedah pernah menempatkan istana kayu tempat Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman dibesarkan di istana ini oleh ayahandanya, Sultan Abdul Hamid dan bondanya, Mak Che Manjalara, kini dibuka selepas proses pengubahsuaian.

Terlanjur ke sana, singgah sebentar di Balai Seni Lukis Negeri, bangunan dengan seni bina kolonial menempatkan karya pelukis tempatan. Menariknya, ada sudut khas diwujudkan memaparkan 17 destar, setiap satunya digunakan berdasarkan taraf dan kedudukan dalam masyarakat dulu kala.

Satu lagi destinasi wajib adalah Rumah Kelahiran Mahathir di Jalan Kilang Ais yang menjadi saksi kelahiran negarawan ulung, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Disember 1925. Mantan Perdana Menteri itu tinggal di rumah kayu beratap nipah itu sebelum berkahwin dan berpindah ke Titi Gajah.

>JADUAL PENERBANGAN

Kuala Lumpur – Pulau Pinang
AK 5350 0655 0745
AK 5352 0805 0855
AK 5362 1340 1430
AK 5364 1525 1615
AK 5374 1945 2035
AK 5368 2030 2120

Pulau Pinang – Kuala Lumpur
AK 5351 0815 0905
AK 5353 0920 1010
AK 5363 1455 1545
AK 5365 1640 1730
AK 5375 2100 2150
AK 5369 2155 2550

Kuala Lumpur – Alor Setar
AK 5250 0715 0810
AK 5252 1620 1715

Alor Setar – Kuala Lumpur
AK 5251 0835 0930
AK 5353 1740 1830

Categories: Travel Tags: , ,