Archive

Archive for May, 2010

Homestay Mudin Hasan, Kuala Pilah, Negeri Sembilan

May 29th, 2010 No comments

NAMA Mudin Hasan mungkin kedengaran agak asing pada pendengaran, tetapi amat mesra dengan kehidupan masyarakat kampung di sekitar Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Apa tidaknya, mudin atau tok mudim ini bertanggungjawab menjalankan upacara berkhatan kepada kanak-kanak lelaki sebelum mereka melangkah ke alam remaja.

Justeru, tidak hairanlah apabila penduduk Kampung Terusan di Kuala Pilah memilih untuk mengabadikan namanya pada program homestay mereka.

Pengerusi Penaja Homestay Mudin Hasan, Md Ridzuan Hasan, berkata penduduk mengambil keputusan itu demi mengangkat martabat mudim dalam masyarakat kampung.

“Nama ini boleh dikatakan legenda kerana Mudin Hasan terkenal di serata daerah ini sehingga ada menggelarnya tok mudim istimewa

“Justeru, ia adalah langkah bijak bagi mempromosikan program homestay terbaru di Negeri Sembilan ini,” katanya.

Menurutnya, peserta homestay di kampung itu akan didedahkan dengan kaedah pembuatan gula anau seperti gula Melaka yang digunakan secara meluas dalam kehidupan masyarakat kampung.

“Gula anau yang dihasilkan akan dimasukkan ke kopi dan sebagai bahan dalam kuih tradisional,” katanya.

Selain itu, katanya, peserta akan dihidangkan dengan sajian masak lemak cili api, daging salai, telur itik selain masakan unik Halua Belulok.

“Kami turut mengajak peserta bersama penduduk bergotong-royong menyediakan rendang dan lemang,” katanya.

Ridzuan berkata, pihaknya juga mengaturkan aktiviti lasak seperti berakit menyusuri sungai bermula di Masjid Kampung Terusan sehingga ke sempadan Kampung Lalang.

“Inilah peluang warga kota menikmati alam semula jadi dan keseronokan di kampung,” katanya.

Info

>Mereka yang tidak pernah mengenal pokok getah perlu merebut peluang ini bagi menyaksikan sumber pendapatan utama penduduk kampung ini. Tambahan pula, banyak ladang getah sudah dibersihkan untuk digantikan dengan tanaman kelapa sawit.

>Aktiviti lain seperti makan malam barbeku dan acara karaoke boleh diaturkan sebagai penamat kepada program homestay. Sambil berhibur, mereka juga akan dihidangkan dengan kuih tradisional selain lemang dan rendang yang dimasak secara bergotong-royong.

>Jika mengunjungi sawah padi, luangkan masa untuk mengail ikan puyu atau ikan sawah lain bersama keluarga angkat. Cuba juga permainan tradisional yang disediakan.

RUJUKAN PERCUTIAN
Homestay Mudin Hasan
Tel: 03-87363517/019-2275492/019-2273160

Colombo, Sri Lanka

May 22nd, 2010 No comments

SEJARAHNYA yang pernah dijajah Belanda dan British menjadikan Colombo sarat dengan bangunan kolonial yang dapat disaksikan sehingga kini.

Sebelum pembinaan World Trade Center yang menjadi ikon negara itu pada 1997, Colombo terlebih dulu dikenali dengan warisan bangunan bersejarah di tiga kawasan utama, Fort, Cinnamon Gardens dan Pettah.

Fort yang pernah menjadi pelabuhan utama kini menjadi tarikan utama pelancong yang ingin melihat keunikan bangunan Parlimen lama.

Fort Clock Tower juga mendapat perhatian kerana dibina pada rumah api lama.

Mercu tanda kota ini bagaimanapun terletak pada keindahan seni bina Independence Hall dekat Cinnamon Gardens yang dibina sempena dengan kemerdekaan Sri Lanka pada 1948.

Menariknya, kawasan ini dikelilingi landskap taman warisan penjajah, Cinnamon Gardens.

Namun, paling menuntut perhatian adalah reka bentuk Masjid Jami Ul-Alfar yang dibina pada 1909 di kawasan Pettah.

Menaranya pernah menjadi panduan kapal pelayar dan sehingga kini, menjadi antara tarikan pelancongan paling popular di ibu negara yang pernah dikenali Ceylon ini.

Seperti bandar utama dunia, Colombo turut memiliki The Galle Face Green, sesiaran elegan dibarisi deretan pohon palma berdekatan dengan kawasan pantai yang menjadi lokasi warganya bermain layang-layang atau bersantai.

Kawasan bersempadan antara Galle Road dan Lautan India itu menjadi tumpuan warga kota yang berlibur pada cuti hujung minggu.

Jalan utama di Colombo ini turut menempatkan Temple Trees, kediaman rasmi Perdana Menteri dan kedutaan asing.

Viharamahadevi Park atau nama asalnya Victoria Park adalah taman terbesar di Colombo dengan tarikan landskap taman bunga yang berkembang sekitar Mac hingga awal Mei. Taman dinamakan sempena ibu kepada Raja Dutugamunu ini turut memiliki zoo mini dan tapak permainan kanak-kanak.

Tidak jauh dari kawasan ini, anda akan dapat melihat beberapa bangunan termasuk Old Town Hall atau dikenali sebagai White House.

Jangan terkejut jika ada gajah ‘pekerja’ dibiarkan bermalam di taman ini pada malam hari.

Terletak di kawasan taman adalah National Museum of Colombo. Bangunan yang dibina pada 1877 ini kini menjadi tumpuan pengunjung yang mahu menyaksikan koleksi keluarga diraja termasuk hasil seni merangkumi lukisan, ukiran dan manuskrip purba.

Dutch Period Museum, pula adalah kediaman gabenor Belanda pada abad ke-17 dan sejak itu digunakan sebagai seminari Katolik, hospital tentera, balai polis dan pejabat pos. Rumah agam yang memiliki landskap menarik ini kini mempamerkan pelbagai perabot antik peninggalan Belanda.

Zaman kegemilangan British dapat dilihat menerusi seni bina Pejabat Perdana Menteri yang dulunya adalah The Sirimathipaya Mansion of Sir Ernest de Silva.

Selain itu, ia dapat dilihat pada Sekretariat Presiden yang asalnya adalah bangunan lama Parlimen.

TARIKAN

>Zoo Dehiwala terletak 10 kilometer (km) dari kawasan Fort, menempatkan pelbagai spesies haiwan, burung dan ikan. Pastikan anda menyaksikan persembahan gajah pada waktu petang.

>Natural History Museum menjadi tumpuan pelancong untuk melihat mahkota raja terakhir daripada kerajaan Kandy, Sri Vikrama Rajasinha.

>Sri Lanka juga terkenal dengan industri batu permata yang menjangkau sejarah melebihi 2,000 tahun. Jangan lupa mendapatkan pelbagai pilihan batu delima, mata kucing, manikam kuning dan batu bulan

JADUAL PENERBANGAN

Kuala Lumpur-Colombo
AK255 /0615-0715

Colombo-Kuala Lumpur
AK256/0815-1430

Categories: Travel Tags: , ,

Hotel Capitol Kuala Lumpur

May 15th, 2010 5 comments

DARI luar, Hotel Capitol mungkin tidak banyak beza dengan kebanyakan penginapan lain di Kuala Lumpur. Lobinya, walau tidak segah dengan hotel lain di Bukit Bintang, ia sentiasa sesak dengan kunjungan pelancong sesuai dengan lokasinya di tengah kesibukan segi tiga emas ibu kota.

Tanggapan itu akan berubah apabila tetamu melangkah ke 10rooms di tingkat 19 dan 20 hotel itu yang berdepan Plaza Sungei Wang dan Plaza Low Yat ini.

Hanya ada 10 unit penginapan meliputi suite, suite studio, bilik premium dan deluxe bakal memberikan kejutan manis buat tetamu.

Perkara pertama yang menarik perhatian adalah siling dengan ketinggian empat meter (m) membolehkan cahaya luar masuk sekali gus menjadikan ruang kelihatan lebih luas. Panel tingkap kaca dari lantai ke siling juga menjanjikan pemandangan indah bandaraya Kuala Lumpur.

Siling tinggi dan rona putih krim yang menjadi warna latar utama membuatkan tetamu berasa berada di apartmen studio di tengah kota. Sesuai dengan golongan sasar iaitu pasangan muda dan eksekutif kota, 10rooms dilengkapi dengan pemain DVD dan kemudahan pembesar suara iPod.

Hotel yang pernah meraih Anugerah Rekaan Dalaman Malaysia 1999 ternyata berani tampil dengan kelainan apabila memilih fotografi dengan sedikit sentuhan “pop art” sebagai hiasan utama, berbanding penggunaan lukisan pemandangan seperti kelaziman hotel lain di tengah kota.

Subjek fotografi pula mengangkat nostalgia, pencapaian, seni bina dan seni kebudayaan masyarakat Malaysia.

Ini dapat dilihat menerusi paparan imej lama Federal Hotel, kubah Masjid Negara, bunga teratai dan pesawat lama yang pernah digunakan Penerbangan Malaysia (MAS).

Unsur tradisional tidak dipinggirkan dengan penggunaan mangkuk Cina dan motif wayang kulit pada hiasan dinding di ruang tamu. Kotak bekas tuala kecil dan pengering rambut juga diperbuat daripada kerja anyaman hasil rimba.

Namun, paling menangkap perhatian penulis apabila kain pelikat disertakan dalam almari pakaian. Ia memberi pengalaman baru kepada mereka yang tidak mengenal kain yang amat sinonim dengan masyarakat Melayu ini.

Gaya ini diperkemas dengan penggunaan perabot moden kontemporari menerusi sofa rotan berbentuk bulat dengan diameter sehingga enam meter.

Ruang tamu juga turut menempatkan sofa kecil dan kusyen empuk selain lampu hiasan gaya pereka yang didapati daripada Ikea.

Pengurus Komunikasi Pemasaran dan Pembangunan Federal Hotels International, May Lee, berkata, gaya hiasan moden tetapi praktikal di 10rooms itu menjadikan hotel itu pilihan penginapan warga Singapura dan Australia.

“Kita juga menerima ramai tetamu tempatan. Rata-rata gemar menginap di sini kerana ia terletak betul-betul di belakang Plaza Sungei Wang dan Plaza Low Yat,” katanya.

INFO

Hotel Capitol
Jalan Bulan, off Jalan Bukit Bintang
55100 Kuala Lumpur
Tel: 03-2143 7000
Faks: 03-2143 0000
www.capitol.com.my