Archive

Archive for April, 2010

Trichy (Tiruchirappalli), Tamil Nadu, India

April 24th, 2010 2 comments

KAYA dengan seni bina monumen, istana dan budaya masyarakat yang diwarisi sejak berzaman, Trichy atau Tiruchirappalli, bandar keempat terbesar di wilayah Tamil Nadu, India kini berkembang menjadi destinasi pelancongan utama di selatan India.

Mercu tandanya terletak pada kuil di puncak bukit berbatu iaitu Rock Fort. Kota pada ketinggian 83 meter (m) ini dibina pada batuan yang berusia 3,800 juta tahun, sekali gus menjadikannya lebih tua daripada daratan Greenland atau banjaran Himalaya.

Pernah menjadi kubu pertahanan ketika era perang, ia beberapa kali bertukar tangan daripada pemerintah tempatan hingga penjajah British.

Rata-rata pengunjung ke kota ini akan mendaki 423 anak tangga untuk melihat kuil di puncak dan menyaksikan pemandangan bandar Trichy.

Srirangam, di pulau kecil di tengah sungai menjadi tumpuan penganut Hindu yang bertumpu ke Kuil Sri Ranganathaswamy. Kompleks kuil terbesar dunia ini terbahagi kepada tujuh seksyen mewakili rakyat bawahan, pedagang, ceti dan golongan Brahmin.

Ada 21 pintu gerbang dikenali sebagai gopuram dengan paling tinggi adalah 73 meter (m) menjadi pintu masuk utama setiap seksyen. Satu daripadanya dibiarkan berwarna putih sebagai mengingati serangan tentera Moghul pada abad ke-14.

Kompleks kuil berdepan dengan Sungai Kaveri ini juga menjanjikan pemandangan menarik untuk pengembara. Sungai ini yang dianggap suci menjadi sumber air untuk menjalankan rutin harian seperti membasuh kain dan mengadakan ritual agama terutama selepas kematian ahli keluarga.

St Lourdes Church, tinggalan penjajah adalah gereja yang dibina berdasarkan gereja utama di selatan Perancis, Basillica of Lourdes. Lokasinya berhampiran kawasan beli-belah utama di Trichy menawarkan pelbagai pilihan sari sehingga kelengkapan harian.

Warisan seni bina Islam dapat dihayati jika singgah di Nadhirsha Darga, antara tempat suci masyarakat Islam yang memiliki sejarah melebihi 1,000 tahun. Masjid Arcot Nawab terkenal kerana memiliki tangki air terbesar.

Pemanduan ke luar kota akan membawa anda ke Thanjavur, rumah kepada Kuil Brihadishwara yang diiktiraf antara 26 monumen warisan dunia di India oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Bangunan bersejarah lain termasuk Vijayanagara Fort yang memiliki istana, menara loceng dan Saraswathi Mahal Library, perpustakaan lama menempatkan lebih 30,000 manuskrip India dan Eropah ditulis pada helaian kertas serta daun palma.

Madurai pula menyaksikan pertembungan budaya yang dapat dilihat pada istana raja Madurai dibina pada abad ke-16. Memiliki gerbang seni bina Islam Moghul dan sarat dengan kehalusan ukiran Hindu, ia menjadi tumpuan pelancong yang mahu menyaksikan pertunjukan selepas senja.

Kunjungan ke daerah ini tidak lengkap tanpa singgah ke pusat peranginan tanah tinggi Kodaikanal. Terletak 120 kilometer (km) dari Madurai, banjaran bukit pada ketinggian 2,130 meter ini menawarkan percutian dalam suasana nyaman dikelilingi kehijauan hutan di pergunungan.

Selain padang golf 18 lubang, ia memiliki tarikan semula jadi termasuk Tasik Kodaikanal di kawasan seluas 24 hektar, Bryant’s Park iaitu taman dengan lebih 740 jenis ros dan beberapa air terjun termasuk air terjun Fairy dan Silver Cascade.

JADUAL PENERBANGAN HARIAN

Kuala Lumpur – Trichy (Tiruchirapalli)
AK231 / 0740 – 0855

Trichy – Kuala Lumpur
AK232 / 0925 – 1540

Singapura

April 17th, 2010 1 comment

KINI ada 2,009 sebab untuk mengunjungi Singapura. Meneruskan promosinya tahun ini, Lembaga Pelancongan Singapura (LPS) melancarkan kempen terbaru, Fly Cruise bagi menarik warga Malaysia.

Menerusi kempen itu, pelancong dari Malaysia yang membuat penempahan kapal terbang, kapal persiaran dan penginapan bakal menikmati penjimatan hebat dan keseronokan berganda menerusi diskaun, tawaran, ganjaran menarik sepanjang kempen ini.

Tiger Airways, antara penerbangan tambang murah utama, menawarkan 150,000 tempat duduk percuma dengan penumpang hanya perlu membayar cukai dan caj berkaitan. Tambang sehala laluan Kuala Lumpur dan Langkawi ke Singapura adalah RM57.

Mereka yang terbang dari Kuching, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang bakal menikmati harga runtuh iaitu RM66.

Komuniti penerbangan negara, Firefly pula menawarkan harga serendah RM88 sehala bagi penerbangan dari Subang, Ipoh, Kuala Terengganu, Kuantan dan Melaka, ke Singapura.

Pelayaran kapal mewah Superstar Virgo dari Singapura dapat menikmati diskaun sehingga 35 peratus. Ada enam pakej meliputi destinasi menarik seperti Melaka, Pulau Pinang, Phuket dan Langkawi ditawarkan pada harga serendah RM603 seorang.

Mereka yang menyertai pelayaran ini bukan saja dapat menikmati keseronokan berganda apabila berpeluang singgah di beberapa pulau peranginan terkemuka di Asia Tenggara, malah turut menerima kredit makan untuk menjamu selera atas kapal bernilai S$55 atau kira-kira RM130.

Percutian dengan kapal persiaran ini memberikan bonus berganda apabila anda mengunjungi 256 restoran, pusat hiburan dan aktiviti rekreasi yang ditawarkan Superstar Virgo. Pusat peranginan terapung ini juga turut belayar ke perairan antarabangsa dan Pelabuhan Klang.

Keseronokan tidak terhenti di situ, pelancong yang melanjutkan percutian di Kota Singa bakal menikmati diskaun sehingga 50 peratus untuk harga bilik termasuk di Siloso Beach Resort, Orchard Parade Hotel, Orchard Hotel, M Hotel, The Elizabeth Hotel dan Grand Copthorne Waterfront.

Pengarah Kawasan, LPS (Malaysia), Gerald Lum, berkata pengunjung perlu merebut tawaran ini berikutan kebanyakan acara menarik negara itu seperti Formula 1(TM) Singtel Singapore Grand Prix dan Christmas in the Tropics berlangsung pada separuh kedua 2009.

“Sepanjang kempen ini, mereka juga boleh mengunjungi dua kompleks beli-belah terbaru di Orchard Road, ION Orchard dan Orchard Central menawarkan pilihan jenama antarabangsa seperti Uniqlo, Muji, Sephora dan Betty Barclay.

“Sebagai tambahan, pusat peranginan bersepadu Marina Bay Sands dijadualkan membuka pintunya kepada pengunjung akhir tahun ini,” katanya.

Categories: Travel Tags: ,

Cameron Highlands

April 10th, 2010 2 comments

PERNAHKAH anda mencuba ikan bersama nasi yang dimasak dalam buluh? Tanpa perisa tambahan dan perahan rempah ratus, aroma ikan sungai segar seperti Kelah yang dibalut pokok hutan, Renting ini, mampu membangkitkan selera.

Beras pula dimasak dalam bungkusan kecil menggunakan daun Ler yang lebih panjang memudahkan pembahagian nasi kepada ahli keluarga dan jiran. Siap dimasak, hidangan ini kelihatan seperti nasi himpit, cuma dalam bungkusan lebih besar.

Cara hidup tradisional tanpa kebergantungan peralatan moden dalam menjalankan kehidupan seharian ini menjadi tarikan pelancong yang menyertai pakej pelancongan Orang Asli di Cameron Highlands, baru-baru ini.

Namun, konsep pelancongan ini tidak memerlukan anda bermalam bersama penduduk, sebaliknya lebih menjurus kepada lawatan ke perkampungan Orang Asli sambil menyelami cara hidup dan budaya diwarisi daripada nenek moyang mereka.

Peserta akan dibawa mengunjungi dusun buah-buahan, belajar menangkap ikan dan menggunakan sumpit. Mereka berpeluang merentas denai hutan untuk melawat air terjun sambil mengenal tumbuhan herba seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan bunga terbesar dunia, Rafflesia.

Seakan tidak lengkap pakej ini tanpa menyaksikan persembahan sewang sambil diiringi alunan muzik tradisional menggunakan buluh. Sama ada dalam rumah atau ruangan terbuka, persembahan ini lazimnya boleh berlanjutan sehingga beberapa jam.

Pakej ini yang hampir sama dengan konsep homestay akan meliputi 16 pakej menarik termasuk perkampungan Orang Asli di Cameron Highlands, Taman Negara, Kuala Tahan, Tasik Chini, di Pahang selain Hutan Belum, Perak dan Sungai Nenggiri di Kelantan.

Lokasi itu dipilih berdasarkan kemudahan laluan ke perkampungan masyarakat itu serta keterbukaan mereka menerima masyarakat luar serta wujudnya pelbagai tarikan dan aktiviti untuk pengunjung.

Cameron Highlands terkenal dengan cuaca sejuk pergunungan, pemandangan indah ladang teh, kebun sayuran dan buah-buahan, manakala Taman Negara dengan laluan titi gantung di tengah kehijauan hutan hujan tertua di dunia.

Sungai Nenggiri di pedalaman Kelantan menjadi lokasi terbaik untuk aktiviti lasak seperti berakit arus deras atau white water rafting, memancing, penerokaan tapak arkeologi, dan terbaru merentas denai untuk melihat lokasi suci gajah mati.

Lokasi lain seperti Tasik Chini dan Taman Negara Endau Rompin di Pahang atau Hutan Belum di Perak pula menawarkan tarikan pengalaman berkayak di tasik air tawar dan kembara pacuan empat roda denai untuk menyaksikan aktiviti hidupan liar dalam habitat semula jadinya.

Sekurang-kurangnya, kebanjiran pelancong terutama warga asing ke destinasi pelancongan ini turut membuka peluang penyertaan Orang Asli dalam sektor pelancongan, sekali gus menyumbang peningkatan taraf hidup masyarakat itu.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata pelancong dari Jepun, Korea, Singapura, Hong Kong, Jerman dan United Kingdom lebih tertarik dan menghargai gaya hidup dan warisan masyarakat Orang Asli seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Ini kerana negara maju menganggap masyarakat Orang Asli serta kehidupan tradisional mereka sangat eksotik dan menarik untuk dilawati,” katanya selepas pelancaran Pakej Pelancongan Orang Asli Malaysia di Kampung Sg Ruil, Cameron Highlands, baru-baru ini.

Majlis pelancaran program anjuran Tourism Malaysia ini disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Turut berangkat, Tengku Puan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Program itu turut menampilkan kehalusan topeng masyarakat Mah Meri dari Pulau Carey, Selangor yang diiktiraf sebagai antara warisan kraftangan dunia oleh Unesco, penghasilan beliung oleh kaum Semai dan demonstrasi pembuatan kraftangan daripada hasil rimba.

INFO

>Pakej pelancongan Orang Asli meliputi tarikan ekopelancongan utama negara. Di Pahang, ini meliputi Taman Negara Kuala Tahan dan Pusat Konservasi Seladang di Kuala Krau, Cameron Highlands, Tasik Chini dan Taman Negara Endau Rompin. Untuk maklumat lanjut mengenai pakej pelancongan Orang Asli di seluruh Malaysia, layari www.tourism.gov.my.

>Mengikut perangkaan terkini, ada 140,000 Orang Asli di seluruh negara. Jika masih kabur dengan cara hidup masyarakat yang terbahagi kepada kaum Senoi, Negrito dan Proto-Melayu ini, kunjungi Muzium Orang Asli (03-61892122) di Gombak, Selangor.

Muzium dikendalikan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli ini mempamerkan koleksi peralatan pemburuan dan pertanian, pakaian, perhiasan dan cenderamata komuniti. Masuk adalah percuma.

RUJUKAN PERCUTIAN

Tourism Malaysia
Tel: 03-2615 8188 /
Faks: 03-2693 5884 / 2693 0207
Talian Pelancongan: 1-300-88-5050

Categories: Travel Tags: ,