Archive

Archive for March, 2010

Bali, Indonesia

March 27th, 2010 1 comment

DENGAN latar belakang keindahan semula jadi dan budaya tempatan yang unik, Bali menjadi antara destinasi pulau peranginan paling popular di rantau ini.

Percutian ke pulau 1,000 pura ini tidak lengkap jika tidak singgah ke Tanah Lot untuk melihat pemandangan indah matahari terbenam menjelang senja.

Sambil menikmati udara segar, pengunjung boleh membeli pelbagai cenderamata etnik.

Ketika air surut, pelancong boleh berjalan kaki untuk ke pulau batu hitam yang sering kali diabadikan dalam risalah pelancongan pulau peranginan itu.

Pulau itu turut menyimpan satu lagi tarikan iaitu telaga air tawar yang menjadi tumpuan pelawat yang menyimpan hajat untuk bernazar.

Selain Tanah Lot, satu lagi destinasi mesti lawat di Bali adalah Pura Uluwatu di pinggir Cenuran Uluwatu, kira-kira dua jam perjalanan dari Kuta.

Pemandangan indah di jurang tinggi ini menjadi latar persembahan tarian kecak, satu lagi identiti masyarakat pulau ini.

Amat mengasyikkan apabila melihat tarian tradisional Bali ini dipersembahkan pada lewat petang dengan berlatarbelakangkan langit jingga dan kemerah-merahan.

Uluwatu juga tumpuan peluncur air antarabangsa. Namun, hati-hati dengan kehadiran monyet nakal yang menghuni kawasan pura.

Perjalanan melewati jalan berliku dan mendaki membawa ke perkampungan tanah tinggi Bedugul untuk ke Candi Kuning dan Tasik Beratan di Baturiti. Ia menjanjikan pengalaman menarik apabila berpeluang melihat sawah padi di lereng bukit, ladang sayur dan rumah tradisional.

Kintamani dengan suasana sejuk serta pemandangan indah, gunung dan Tasik Batur juga menggamit pelancong. Ubud ibarat perkampungan seni dan perlu disinggahi terutama jika anda ingin menghayati ukiran dan lukisan daripada seniman negara itu.

Setiap tarikan menarik di sekitar pulau ini menjadi perhatian penjaja yang memanfaatkan kebanjiran pelancong. Justeru, anda boleh mendapatkan pelbagai barangan perhiasan rumah, pakaian, aksesori dan keperluan lain pada harga rendah.

Jika masih tidak cukup, anda boleh berkunjung ke Pasar Kumbasari untuk mendapatkan barangan pada harga borong.

Anda boleh ke pasar seni di Sukawati, khususnya untuk membeli lukisan. Paling penting, ringankan mulut menawar barangan yang ada kalanya dijual lebih separuh harga asal.

Kebanyakan pelancong lebih menggemari Kuta yang popular sebagai lokasi luncur air terutama warga Australia. Justeru, tidak hairanlah Jalan Kuta dan Legian menjalur ke Seminyak akan berpesta selepas senja apabila pusat hiburan, pub, restoran dan kafe beroperasi sehingga awal pagi.

Namun, jika anda mahukan percutian tenang tanpa gangguan, pantai lain seperti Nusa Dua juga boleh dilawati selain tarikan pelancongan lain seperti Pantai Sanur, Sukowati, Celuk, Batubulan, Mengwi dan Tampaksiring.

Info
>Pulau Bali yang dikenali sebagai pulau 1,000 pura dan dewa. Pulau memiliki 3.1 juta penduduk dengan 85 peratus beragama Hindu ini merayakan pelbagai sambutan mengikut kepercayaan mereka.
>Monumen khas yang dibina di Jalan Ligian, Denpasar sebagai mengingati peristiwa pengeboman yang menyebabkan 202 nyawa terkorban pada 12 Oktober 2002 kini menjadi antara tarikan pelancongan.
>Jangan risau untuk mendapatkan makanan halal. Ada banyak restoran yang diusahakan orang Minang menyediakan makanan untuk pengunjung Islam.

JADUAL PENERBANGAN KUALA LUMPUR – BALI

Pesawat Berlepas Tiba
AK900 1055 – 1355
QZ 8391 1145 – 1445
AK364 1550 – 1850
AK904 1715 – 2010
QZ8395 1900 – 2200

JADUAL PENERBANGAN BALI – KUALA LUMPUR

Pesawat Berlepas Tiba
QZ 8390 0600 – 0900
AK901 1425 – 1730
QZ 8394 1535 – 1835
AK365 1915 – 2215
AK905 2035 – 2330

Categories: Travel Tags: , ,

Deerland Park

March 20th, 2010 1 comment

BERMULA dengan angan-angan ingin membuka taman haiwan peliharaan, Abdullah Ahmad Mahmud kini boleh berbangga apabila ladang Deerland miliknya disenarai sebagai antara destinasi pelancongan utama di Lanchang, Pahang.

Taman milik persendirian yang pernah menjadi lokasi rakaman program cabaran realiti terbitan TV3, Explorerace itu kini semakin mendapat tempat di kalangan pelancong asing, yang lazimnya singgah selepas membuat kunjungan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan.

Seperti pengunjung lain, peserta Kembara Zoom Malaysia (KZM) anjuran majalah pelancongan Gaya Travel Nusantara dan Tourism Malaysia, baru-baru ini, turut diberi kesempatan bermesra dengan haiwan peliharaan taman yang diusahakan sejak 1996 itu.

Tidak perlu menunggu lama, hampir 20 rusa keluar dari hutan sebaik dipanggil pemiliknya.

Semuanya meluru terus untuk menikmati potongan lobak yang menjadi makanan kegemaran dalam bekas plastik dipegang pengunjung.

Malah, haiwan jinak ini sudah tidak terancam dengan kehadiran manusia apabila ada yang berdiri atas dua kaki apabila diacah pengunjung.

Rusa daripada jenis Timor dan Sambar ini hanya akan beredar apabila menyedari makanan sudah habis dihulurkan.

Abdullah berkata, sejak mengusahakan taman itu, rusa peliharaannya sudah beberapa kali meloloskan diri ke hutan berhampiran apabila ada sebahagian daripada pagar taman roboh akibat pokok tumbang.

“Namun, oleh kerana sudah terbiasa, saya hanya perlu memanggil rusa pulang. Adakalanya tidak perlu dipanggil pun, haiwan ini akan kembali apabila tiba waktu makan,” katanya yang mengendalikan taman itu dengan bantuan ahli keluarga.

Puas memberi rusa makan, peserta diminta beratur dalam satu barisan tanpa berpaling ke belakang.

Rupa-rupanya, pemiliknya ingin memperkenalkan monyet kecil yang akan melompat dari satu kepala ke kepala pengunjung yang lain.

Gamat suasana apabila monyet kecil yang masih menyusu itu adakalanya seperti degil dan tidak mahu berganjak dari bahu sesetengah peserta walaupun cuba dirasuah dengan makanan.

Pantang lensa kamera dihalakan, haiwan ini juga seolah-olah amat gemar beraksi.

Dari sini, peserta dibawa melewati zoo mini menempatkan haiwan eksotik seperti burung merak, burung kasawari dan paling istimewa burung pegar yang memiliki balung biru kundang bagi menutup muka.

Jika bernasib baik, pengunjung boleh bermesra dengan kancil dan sugar glider dari Australia mahupun arnab atau landak kecil yang akan keluar dari tempat persembunyian apabila diumpan dengan roti segar oleh pemiliknya.

Mereka yang tidak fobia boleh merakamkan gambar bersama dua ular sawa yang menjadi antara penghuni utama taman itu sejak ia diperluaskan.

Namun, pengalaman paling unik menanti peserta apabila diajak membelai beruang madu – haiwan yang digeruni di Barat.

Terlebih dulu, Abdullah membawa keluar anak beruang yang dinamakan Muda untuk tontonan pengunjung. Seperti anak kecil, haiwan ini tidak betah duduk diam dan sering kali berdiri dan berguling ke tanah apabila diacah pemiliknya.

Tapak tangan peserta kemudian dilumur dengan campuran madu dan susu pekat untuk sesi memberi Muda makan. Anak beruang kelihatan amat berselera sekali apabila dihulurkan susu yang menjadi makanan kegemarannya sambil dipantau pemiliknya.

Anak sudah didekati, ibu haiwan ini turut dipamerkan di satu lagi ruangan berhampiran pintu keluar taman. Dengan belang putih di dada, beruang dewasa bernama Sun yang lazimnya kelihatan ganas hanya duduk diam tanpa terganggu dengan tumpuan manusia.

TARIKAN LAIN

Pengunjung boleh memilih Herb Trail untuk mempelajari mengenai tongkat Ali, kacip Fatimah dan lebih 40 tumbuhan herba yang sebahagiannya dikomersialkan dalam bidang perubatan.

Mahu lebih dekat dengan alam sekitar? Anda boleh menyertai pakej perkhemahan tepi sungai sambil menikmati kedinginan air yang masih belum dicemari pembangunan manusia.

Selain dapat melihat habitat rusa dari dekat, peserta dapat mempelajari teknik hidup dalam hutan, selain menikmati minuman petang dengan menu seperti ubi kayu atau pisang bakar.

Bagi yang suka memancing, ikan lampam dan baung mungkin menjadi antara hidangan makan malam barbeku anda.

Kurang enam kilometer, anda boleh singgah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan atau dua kilometer untuk ke Institut Konservasi Biodiversiti Bukit Renggit (09-2762009).

Institut ini memiliki beberapa chalet pada harga serendah RM70 berserta makanan.

Dari institut ini juga, pengunjung boleh merentas denai menuju ke air terjun kecil untuk berkelah di tengah hutan rimba.

Selain itu, anda boleh melawat Kampung Beh, perkampungan Orang Asli suku Batek Che Wong dan Temuan.

RUJUKAN PERCUTIAN

Deerland Park
Tel: 013-9676242 (Abdullah), 09-2797249 (pejabat).
E-mel: kraunaturepark@yahoo.com.my
Waktu operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (10.30 pagi hingga 5.30 petang)
Bayaran masuk: RM5 (dewasa) dan RM3 (kanak-kanak bawah 12 tahun). Bayaran lebih murah untuk tempahan kumpulan serta pakej pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah.

CARA KE SANA

Deerland terletak di Bukit Rengit, Lanchang, kira-kira 110 kilometer dari Kuala Lumpur. Dari ibu kota, pandu melalui Lebuhraya Karak menuju ke Kuantan dan ambil susur keluar selepas tol Lanchang. Dari sini, pandu terus menghala ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan dan pandu lapan kilometer sebelum ambil kanan dan ikut papan tanda untuk ke Bukit Renggit dan Deerland.

Categories: Travel Tags: ,

Hotel Vistana Kuala Lumpur

March 13th, 2010 1 comment

PENGINAPAN empat bintang dengan layanan kelas pertama menjadi daya penarik kepada mereka yang pernah bertandang kembali menginap di Hotel Vistana Kuala Lumpur.

Menurut Pembantu Housekeeper, Mustakim Masseng, sebagai hotel naungan YTL, ia perlu memastikan kualiti perkhidmatan diberikan setanding dengan piawai jenama global itu.

“Kebanyakan kaki tangan hotel lain di bawah rangkaian jenama YTL menjalani latihan di hotel ini sebelum berkhidmat di JW Marriot atau Ritz Carlton.

“Justeru, kami boleh mengatakan layanan yang diberikan adalah setanding dengan penginapan lima bintang terkemuka di ibu negara,” katanya.

Lokasinya bersebelahan dengan Hentian Pekeliling serta tidak jauh dari kompleks beli-belah The Mall dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) turut menjadikannya pilihan utama warga tempatan.

Tetamu yang ingin meneroka Kuala Lumpur boleh memanfaatkan perkhidmatan Monorel atau Star-LRT untuk membeli-belah di Bukit Bintang atau Suria KLCC.

Penggunaan pengangkutan awam lebih menjimatkan masa kerana hotel ini terletak berhampiran dengan Jalan Tun Razak dan Bulatan Pahang yang terkenal dengan kesesakannya.

Meskipun begitu, jalan ini turut memiliki tarikan utama termasuk Taman Tasik Titiwangsa, Balai Seni Lukis Negara, Istana Budaya dan Perpustakaan Negara.

Selain itu, lokasinya terletak berhampiran dengan Hospital Kuala Lumpur dan beberapa pusat perubatan terkemuka.

Mustakim berkata, Hotel Vistana Kuala Lumpur menawarkan 364 bilik yang sudah dinaik taraf secara berperingkat menerusi proses pengubahsuaian besar-besaran pada 2005.

“Apa yang kita tawarkan mungkin tidak ada di hotel empat bintang lain termasuk bantal diperbuat daripada bulu sepenuhnya, duvet dan pelapik tilam bersaiz tebal untuk keselesaan tetamu.

“Setiap bilik juga dilengkapi dengan televisyen LCD serta perkhidmatan akses Internet tanpa wayar atau WiFi,” katanya.

Hiasan dalaman juga menjadi aspek utama apabila permaidani, hiasan dinding serta ruang legar juga diberi sentuhan lebih kontemporari selari dengan imej hotel di tengah kota.

Ada tiga jenis bilik utama ditawarkan di hotel ini meliputi katil bersaiz king, berkembar dan Hollywood. Seperti namanya, Hollywood memiliki katil yang lebih luas dikenali sebagai superking.

Hotel ini juga, katanya, sudah menarik kunjungan pelancong asing termasuk dari Singapura terutama mereka yang dalam perjalanan ke Genting Highlands.

“Sejak dibuka pada pertengahan 90-an, kadar penginapan kami sentiasa mencecah 70 peratus dan adakalanya penuh apabila ada persidangan besar-besaran di ibu kota,” katanya.

Menyedari keperluan berbeza untuk pelancong dari sesetengah negara, pihaknya boleh menyediakan permintaan penterjemah untuk pelancong Arab.

“Bagaimanapun, mereka perlu membuat permintaan khusus mengenainya ketika membuat tempahan bilik atau melalui agensi pelancongan,” katanya.

Selain itu, katanya, pengurusan sedia berunding dalam memenuhi bajet dan keperluan tetamu terutama untuk tempahan berkumpulan.

Info

Hotel Vistana Kuala Lumpur
9, Jalan Lumut, Off Jalan Ipoh,
50400 Kuala Lumpur.
Tel: 03-40428000
Faks: 03-40411400.
E-mel: viskl@po.jaring.my

http://www.vistanahotels.com/vkl