Archive

Archive for February, 2010

Homestay Desa Keda, Kampung Lahar Tunjung, Pendang, Kedah

February 27th, 2010 2 comments

JARANG kita melihat perkampungan Siam dalam produk pelancongan homestay di negara ini. Di Homestay Desa Keda Kampung Lahar Tunjung, Pendang, Kedah, peserta diajak merasai kemeriahan budaya kaum berkenaan.

Melalui homestay ini, anda boleh menyaksikan demonstrasi tomoi oleh anak muda kampung dan sebelah malam diselang-seli dengan pertunjukan silat, marhaban dan nasyid.

Anda juga berpeluang mengenali Gendang Keling, keunikan persembahan alat muzik tradisional menggabungkan serunai, dram India atau gendang keling dan dua gong.

Turut dikenali sebagai gendang tari inai, persembahan gendang keling lazimnya dimainkan bagi mengiringi tarian tari inai pada majlis berinai. Ia masih diamalkan di Kedah dan Perlis.

Jika berkunjung sekitar April, pelancong dapat merasai kemeriahan Pesta Songkran iaitu sambutan tahun baru yang disambut secara besar-besaran di Thailand.

Inilah masanya anak kecil tidak segan silu menyimbah air kepada pengguna jalan.

Sepanjang tempoh program, peserta dapat meluaskan pergaulan dengan tinggal di rumah keluarga angkat dan menyertai aktiviti berteraskan semangat hidup berkampung.

Peserta akan dijamu dengan masakan utara yang terkenal dengan menu pedas tetapi manis.

Mereka yang dibesarkan di bandar pasti teruja apabila diajak turun ke bendang untuk menanam padi.

Jangan lupa merasai keenakan buah-buahan tempatan di dusun milik penduduk kampung selain memancing, menoreh dan mandi di air terjun.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Wahab Abdul Ayob, berkata pihaknya bangga kampung itu dipilih homestay yang selama ini cuma dikenali penempatan penduduk miskin Keda.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pelancongan Majlis Daerah Pendang (MDP), Mohamad Zahimi Harun, berkata di daerah itu banyak tempat menarik seperti Pendang Lake Resort (PLR), projek ternakan ikan komersial dalam kolam, Kampung Kubur Panjang dan projek tanaman mempelam Chok Anan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Maklumat lanjut, hubungi Pengerusi homestay, Abdul Wahab (013-424 6049) atau Zahmi Harun (012-591 3185).

Naza-Talyya Hotel

February 20th, 2010 1 comment

KESELESAAN mampu dinikmati menjadi cogan kata keramat buat Naza-Talyya Hotel dalam menjanjikan pakej penginapan selesa dengan mood tersendiri, gaya hidup mewah namun boleh dikecapi semua golongan dan peringkat tetamu yang bertandang.

Naza-Talyya Hotel yang dulunya dikenali dengan nama Naza Hotel tampil dengan imej dan konsep layanan baru bagi memenuhi keperluan pelanggan terutama mereka yang mempunyai urusan perniagaan di luar daerah dan singgah di Johor Bahru.

Lebih menarik, pakej sebegini tidak hanya menjanjikan layanan dan ketenangan hidup, malah mampu memberi rangsangan kepada individu yang sedia terbeban dengan pelbagai urusan untuk menyempurnakan perihal perniagaan dengan lebih teratur dan efisien.

Diberi sentuhan baru dengan gaya kontemporari moden, Naza-Talyya Hotel Johor Bahru kini siap sedia menerima lebih 300 tetamu pada satu masa.

Setiap bilik yang ditawarkan tidak hanya tertumpu kepada perabot asas, malah ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan khas untuk keselesaan tetamu hotel.

Ia termasuk peti sejuk bersaiz mini, peti simpanan keselamatan, rangkaian Astro serta kemudahan Internet (Wi-Fi) di bilik penginapan serta seluruh kawasan hotel.

Nyata dengan semua kelebihan yang ada, Naza-Talyya Hotel mampu menjanjikan persekitaran selesa dengan perkhidmatan yang cukup memuaskan.

Diiktiraf sebagai hotel berstatus tiga bintang, Naza-Talyya Hotel tetap berdiri gah sebagai penyumbang nadi kota di Jalan Tenteram, Tanjung Puteri, Johor Bahru.

Lokasinya cukup strategik kerana terletak berdekatan pusat beli-belah City Square, Kotaraya, Plaza Pelangi dan Giant Leisure Mall dengan jarak perjalanan tidak sampai 10 minit dari hotel.

Selain bilik penginapan, Naza-Talyya Hotel juga menawarkan ruang selesa untuk acara seminar atau persidangan yang mampu menampung antara 200 dan 300 delegasi pada satu masa.

Sehingga kini Naza-Talyya tidak hanya menyuntik sektor perkhidmatan di Johor sebaliknya berkembang di Melaka dan Pulau Pinang.

Di Bandaraya Bersejarah, ia dikenali sebagai Naza-Talyya Hotel Melaka dengan menawarkan 112 ruang penginapan selesa dan lengkap di Jalan Tun Ali Street.

Tidak jauh berbeza dengan Naza-Talyya Johor Bahru, cawangan di Melaka turut menawarkan kelebihan sama dengan sentuhan perabot gaya moden.

Manakala di Pulau Pinang, Naza-Talyya adalah hotel pertama yang boleh dilihat di sepanjang pantai Tanjung Tokong.

Lokasinya juga strategik apabila hanya mengambil masa 10 minit untuk sampai ke bandar Georgetown manakala dalam tempoh sama ke utara membolehkan pengunjung sampai ke Batu Feringghi.

Hotel di sini menawarkan 126 kamar tidur termasuk suite yang bukan saja selesa dan lengkap, malah turut menyajikan panorama indah bandaraya Georgetown.

Tetamu berminat boleh membuat tempahan dengan harga bilik promosi bernilai RM148 berserta sarapan pagi untuk dua orang.

Bagi pakej seminar, setiap individu dikenakan bayaran RM65 termasuk sarapan, hidangan tengahari dan minum petang.

Categories: Travel Tags: ,

Surabaya, Indonesia

February 13th, 2010 2 comments

SEJARAH Surabaya sarat dengan kisah perwira tempatan dalam memerdekakan Indonesia daripada penjajahan Belanda sekitar 1945.

Tidak hairanlah, bandar yang memiliki tiga juta penduduk ini mendapat jolokan Kota Pahlawan.

Ramai yang sekadar menjadikan kota ini sebagai persinggahan sewaktu dalam perjalanan ke Bali dan Gunung Bromo, namun bandar di timur Jawa ini memiliki banyak tarikan.

Zoo Surabaya atau Kebun Binatang Surabaya menjadi tarikan utama dengan koleksi lebih 1,000 fauna meliputi 351 spesies.

Terletak kira-kira tiga kilometer (km) dari pusat bandar, ia memiliki koleksi orang utan paling banyak di dunia.

Ciputra Waterpark di kompleks CitraLand menjanjikan keriangan berterusan dengan taman tema yang meminjam inspirasi pengembaraan Sinbad dengan kisah 1001 malamnya.

Dibuka hingga 8 malam, taman tema air terbesar di Indonesia ini beroperasi dengan teknologi termoden.

Di taman ini, dram gergasi akan mengalirkan 3,000 liter air sambil ombak tiruan di Syracuse Beach membuatkan seolah-olah anda berada di pantai semula jadi.

Pengunjung juga diajak menyusuri sungai buatan, Sirens River sepanjang 480 meter (m) atau menguji keberanian pada ketinggian 15 m di Roc Tower.

Mereka yang mahu melihat kesan penjajahan boleh singgah di House of Sampoerna, kompleks bangunan menempatkan muzium, galeri seni, restoran dan kedai cenderamata di bangunan asal dibina Belanda pada 1862.

Pertembungan budaya juga boleh dilihat jelas pada seni bina China pada Masjid Cheng Ho, suasana bazar malam di Kembang Jepun di Chinatown atau melihat pelbagai permaidani dan barangan antik di Pasar Ampel.

Di luar kota, Taman Safari Indonesia 11 menjanjikan pengalaman menyaksikan hidupan liar dalam habitat semula jadi.

Berbanding dengan konsep zoo biasa, taman safari di kaki bukit Prigen, kira-kira sejam perjalanan dari Surabaya, ia turut menempatkan spesies harimau Jawa.

Pengunjung mempunyai pilihan sama ada bersiar-siar menggunakan kenderaan sendiri atau bas persiaran.

Golongan kecil pasti teruja bermesra dengan haiwan comel dan menyaksikan pertunjukan binatang. Selepas mencuba pelbagai permainan mekanikal, akhiri kunjungan anda dengan menikmati hidangan enak di medan selera.

Wisata Lamongan yang memakan kira-kira sejam perjalanan menawarkan suasana berbeza dengan tarikan taman tema di pantai peranginan.

Anda dijamin tidak jemu dengan pelbagai permainan termasuk Jet Coaster, Tagada, Jumping Frog, Go Kart, Space Shuttle dan Bumper Boat.

Jika belum puas, kunjungi Rumah Sakit Hantu, Rumah Kucing, Planet Kaca dan Dunia Air.

Pengunjung juga perlu mencuba pawagam tiga dimensi dan singgah di Anjungan Wali Songo yang mengimbau kembali sejarah perkembangan Islam di tanah Jawa.

Pemanduan ke luar kota membawa anda ke Malang, bandar kedua terbesar di Jawa Timur, yang terkenal dengan cuaca sejuk pergunungan.

Paris van East Java ini pernah menjadi tumpuan warga Eropah yang mahu lari daripada cuaca panas.

Peninggalan kuasa asing juga dapat dilihat di bandar di banjaran bukit ini menerusi seni bina hotel, vila dan persiaran yang dipelihara sehingga sekarang. Warisan kolonial ini kini dipulihara sebagai tarikan pelancongan.

TARIKAN LAIN

# Bandar ini memiliki banyak tugu bagi memperingati peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di Surabaya. Tugu Pahlawan umpamanya dibina bagi mengenang jasa pejuang yang gugur ketika mempertahankan tanah air daripada penjajahan antara 1945 dan 1949.
# Manakala, Monumen Jalasveva Jayamahe yang dibina berhampiran pantai merakamkan penghargaan kepada tentera laut Indonesia. Monumen Kapal Selam berhampiran sungai dekat Delta Plaza pula adalah kapal selam sebenar buatan Soviet bernama Pasopati.
# Masjid Al Akbar Surabaya, antara masjid terbesar di Asia Tenggara, turut mencatatkan keunikan apabila menaranya dilengkapi dengan lif. Daripada atas menara ini iaitu pada ketinggian 65m , pengunjung akan dapat menyaksikan pemandangan sebahagian besar bandar ini.

JADUAL PENERBANGAN

KUL-SUB (Setiap hari)
AK 912/1025-1155
QZ 7614/1240-1420
AK 916/1620-1800
QZ 7616/1900-2040

SUB – KUL (Setiap hari)
QZ 7613/0835-1210
AK913/1225-1555
QZ 7615/1500-1835
AK 917/1830-2205

Categories: Travel Tags: , ,