Archive

Archive for January, 2010

Crystal Yacht

January 30th, 2010 No comments

JIKA dulu, pulau peranginan atau kota bersejarah menjadi aspek pertama diambil kira ketika merancang percutian, kini, cita rasa manusia berbeza.

Sesuai dengan peredaran zaman, pengalaman menaiki pengangkutan seperti belon udara, kereta api dan kapal layar menjadi pilihan untuk bersantai.

Percutian dengan kapal layar walaupun baru tetapi popular di kalangan pasangan yang masih berbulan madu dan kini mendapat permintaan tinggi terutama di pulau peranginan utama negara seperti Langkawi.

Peluang bercuti di atas kapal mengelilingi pulau legenda itu ketika membuat liputan majlis perkahwinan pemenang pertandingan ‘Love Me Do’, bulan lalu memang menyeronokkan.

Ketika menaiki kapal layar Crystal, di atas dek, pemiliknya, warga Kanada, Allan Scott bersama isteri, Ryoko menyambut penulis dan wakil media dengan senyuman mesra.

Hiasan ringkas dengan dominasi warna putih tanpa susun atur perabot yang berselerak menerbitkan mood santai.

Ruang deknya sesuai dijadikan lokasi berkelah dan berjemur.

Kapal belayar meredah ombak Laut Andaman sebelum berlabuh seketika berhampiran gugusan pulau kecil dekat Pulau Dayang Bunting.

Tanpa menghiraukan sinaran matahari yang terpacak di atas kepala, kami menukar pakaian mandi untuk mencuba satu lagi pengalaman baru iaitu spa ombak laut.

Tiada bilik rawatan khusus disediakan, namun jaring besar boleh memuatkan hingga 10 orang pada satu masa.

Sekali pandang, jaring berkenaan kelihatan tidak begitu meyakinkan terutama untuk mereka yang fobia air atau tidak mahir berenang. Namun, percayalah rasa khuatir tadi akan hilang sebaik anda bersandar dalam jaring spa ini.

Duduk bersantai sambil membelai diri dalam jaring besar ini memberi pengalaman baru yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Alunan ombak lembut membuai badan membuatkan anda seolah-olah berada di awangan.

Tiada peraturan tertentu perlu dipatuhi apabila berada dalam jaring ini. Sebaliknya, anda bebas bergerak dan menukar posisi sama ada duduk, melentang, mengiring atau meniarap.

Bagi yang tidak gemarkan berendam di jaring, banyak aktiviti boleh dilakukan di atas dek kapal termasuk meneroka setiap sudut kapal ini.

Ada yang mengabadikan gambar kenangan seolah-olah sedang mengemudi haluan kapal, mendengar muzik atau membaca bahan bacaan.

Pada masa sama, tetamu dapat menikmati pemandangan indah apabila kapal layar ini perlahan-lahan mengelilingi gugusan pulau kecil yang membentuk kepulauan Langkawi.

Jika lapar, anda boleh menikmati hidangan bufet salad, sate, makanan laut dan buah-buahan sambil melihat pemandangan alam.

Selain itu, menerusi syarikat Crystal Yacht Holidays, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan persiaran dan tempahan khas.

“Kami menyediakan pakej menyaksikan matahari terbenam, persiaran cabaran eko, persiaran malam, persiaran peribadi untuk majlis perkahwinan, bulan madu, sambutan ulang tahun atau bina semangat,” katanya.

Info
Selain Crystal, ada banyak syarikat di Langkawi yang menawarkan pengalaman menaiki kapal layar dengan tawaran pelbagai pakej daripada makan malam sambil menyaksikan matahari terbenam, pelayaran mengelilingi pulau sehingga yang melangkau sempadan untuk ke pulau peranginan Phuket.

Perkembangan marina baru di beberapa lokasi strategik termasuk Telaga Harbour, Rebak Marina Resort selain Awana Porto Malai juga merancakkan lagi percutian kapal layar ini. Saiz kapal untuk tujuan ini meliputi dari enjin bermotor atau 83 meter panjang.

Kapal Lili Marleen milik Blue Water Star Sailing, umpamanya boleh menampung kapasiti sehingga 50 orang pada satu masa sesuai dijadikan lokasi penganjuran majlis keraian seperti resepsi perkahwinan sambil belayar mengelilingi pulau.

Jika mahu lebih privasi, anda boleh memilih kapal lebih mewah dengan kapasiti 10 orang yang mampu ditempah pada harga RM2,500 sejam termasuk hidangan makanan dan wain untuk mereka yang bukan beragama Islam.

Pelayaran mewah menaiki kapal layar tradisional dengan enam penumpang memakan belanja sekitar RM5,000 untuk tempoh lapan jam. Jika tidak pun, anda mempunyai pilihan untuk menikmati pelayaran menyaksikan matahari terbenam selama empat jam dengan harga sekitar RM3,300.

Kapal lebih kecil menawarkan kos lebih murah sekitar RM3,000 untuk empat orang bagi pelayaran sepanjang hari. Jika mereka yang mahu menikmati suasana bayu laut selepas senja boleh mencuba pelayaran malam pada harga sekitar RM4,700.

TIP BERCUTI ATAS KAPAL
> Bawa pakaian mandi yang sesuai berikutan kapal ada kalanya berlabuh di tengah laut atau berhampiran persisiran pantai. Cermin mata diperlukan terutama untuk yang tak tahan panas.
> Losyen tabir suria perlu dibawa jika anda tidak mahu digelapkan oleh pancaran matahari. Topi juga mungkin membantu melindungi anda daripada cuaca panas terik.

RUJUKAN PERCUTIAN

Crystal Yacht Holidays: www.crystalyacht.com
Blue Water Star Sailing: www.bluewaterstarsailing.com

Categories: Travel Tags: ,

Pantai Air Tawar, Besut, Terengganu

January 23rd, 2010 4 comments

TERENGGANU memang terkenal dengan keindahan persisiran pantainya yang panjang. Dari Setiu hingga ke Rantau Abang, setiap pantainya memiliki keistimewaan tersendiri.

Walaupun ia tidak semeriah pantai di Bali atau Phuket, kawasan itu sentiasa sesak dengan pengunjung tempatan sama ada berkelah, berkhemah atau mengadakan majlis pertemuan.

Selain Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu, Pantai Teluk Bidara di Dungun dan Pantai Kemasik di Kemaman, Pantai Air Tawar di daerah Besut juga tidak kurang hebatnya.

Ramai yang tidak jemu ke sini bagi menyaksikan panorama matahari terbenam.

Terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari pekan Kuala Besut atau 30 minit dari Bandar Jerteh, persisiran pantainya yang panjang membolehkan pelbagai aktiviti rekreasi diadakan termasuk bola sepak atau bola tampar.

Pengunjung juga bebas mengadakan aktiviti perkelahan bersama keluarga, berjoging, bersiar-siar atau bermain layang-layang.

Kawasan pantai ini dipenuhi dengan deretan pohon ru yang sesuai dijadikan tempat berehat.

Dari kawasan pantai, pengunjung dapat menyaksikan keindahan gugusan pulau kecil di perairan Terengganu yang jelas kelihatan terutama jika keadaan cuaca mengizinkan.

Anda mungkin melihat bot nelayan yang meredah gelombang untuk mencari rezeki di tengah laut.

Jika gemar aktiviti lasak, anda boleh bermain jet ski sepuas hati kerana ini jarang digunakan pengunjung tempatan untuk mandi-manda kecuali pelancong asing.

Pantai Air Tawar popular sejak zaman penjajahan Inggeris kerana ada kediaman pegawai Inggeris dan rumah pegawai polis.

Pantai peranginan ini dijadikan kawasan perkampungan Pekan Budaya Daerah Besut, setiap tahun.

Keindahannya menjadi pilihan orang perseorangan dan pasukan berunifom untuk mengadakan aktiviti perkhemahan.

Kanak-kanak pasti gembira apabila dapat bermain di gigi air sambil membina istana pasir bersama rakan. Bagaimanapun, pengunjung tidak digalakkan mandi jika tidak tahu berenang bagi mengelak kemalangan jiwa.

Jakarta, Indonesia

January 16th, 2010 No comments

JAKARTA, kota ke-11 terbesar di dunia mempunyai 12 juta penduduk. Ia menjadi cita-cita setiap penduduk Indonesia untuk datang ke kota impian itu.

Di Jakarta, anda boleh melihat pelbagai ragam manusia yang kadangkala tidak pernah terfikir di fikiran.

Bayangkan, di celah bangunan pencakar langit, peneroka bandar membina rumah daripada cebisan kotak atau berkampung di bawah jejambat.

Namun, itulah warna warni Jakarta yang mungkin tidak ada di tempat lain.

Jakarta asalnya dikenali sebagai Sunda Kalapa (397-1527), Jayakarta (1527-1619), Batavia (1619-1942) dan Djakarta (1942-1972).

Zaman penjajahan Belanda menyaksikan nama Batavia digunakan, sebelum Jakarta kembali digunakan selepas pendudukan Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Peninggalan Belanda ini jelas dilihat pada reka bentuk bangunan di sekitar Kota dan Sunda Kalapa.

Muzium Sejarah Jakarta yang asalnya Stadhuys atau Town Hall of Batavia, kini mempamerkan potret gabenor terdahulu dan perabot antik pada zaman kegemilangan Belanda.

Muzium Wayang yang asalnya bangunan gereja pula mengabadikan payung wayang kulit, hasil kerja tangan karyawan Indonesia.

Muzium Senirupa dan Keramik yang pernah menjadi mahkamah Belanda pula mempamerkan koleksi

ukiran seramik oleh seniman negara itu.

Jakarta kaya dengan bangunan bersejarah. Deretan gudang lama bertaburan di kawasan Kota, manakala vila milik keluarga kaya Belanda banyak di Menteng.

Jika mahu membeli-belah, Tanah Abang menyediakan seribu satu macam barangan daripada telekung, fabrik kepada batik Indonesia.

Mangga Dua pula popular dengan barangan berjenama tiruan, tetapi kedua-duanya menawarkan pelbagai fesyen dan bentuk pada harga borong.

Untuk yang berpoket tebal, anda boleh berkunjung ke Grand Indonesia atau Pacific Place untuk mencari barangan berjenama atau ke Alun Alun Indonesia, jika mahu membelek cenderahati bermutu tinggi.

Jakarta, walau tampak hebat dengan menara pencakar langit masih dibayangi pembangunannya yang tidak seimbang.

Meskipun begitu, ia tidak mengikis rasa hormat warganya kepada seni dan budaya tradisi yang menjadi nadi kehidupan kota di antara pulau paling padat dunia itu.

Tempat menarik di Jakarta

# Taman Impiana Ancol menjadi pusat rekreasi keluarga dan pengunjung boleh mencuba pelbagai jenis permainan di Dunia Fantasi, taman air di Atlantis Water Adventure dan menyaksikan persembahan hidupan marin di Seaworld.
# Taman Mini Indonesia Indah mempamerkan kediaman masyarakat di 30 wilayah negara itu yang mempunyai lebih 250 budaya.
# Kepulauan Seribu adalah gugusan 330 pulau kecil yang bertaburan di Laut Jawa ini terletak dekat dengan utara Jakarta.
# Zoo Ragunan di selatan Pasar Minggu, menempatkan lebih 3,600 spesies hidupan liar termasuk cicak besar Komodo.
# Situ Babakan Village adalah perkampungan budaya dan anda boleh melihat cara hidup masyarakat Betawi, antara penduduk terawal di Jakarta.

JADUAL PENERBANGAN

AirAsia mengadakan tujuh penerbangan harian ke Jakarta. Maklumat lanjut, layari www.airasia.com.
Anda juga boleh menempah pakej percutian atau hotel di: http://goholiday.airasia.com.

Categories: Travel Tags: , ,