Tarikh Kahwin Yusry KRU dan Lisa Surihani

December 23rd, 2011 No comments

Tarikh Kahwin Yusry KRU dan Lisa Surihani

PETALING JAYA: Selepas sekian lama berteka-teki mengenai tarikh perkahwinan mereka, pasangan artis Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim akan membuat pengumuman istimewa mengenai perkara itu pada Sabtu ini.

Jemputan mengenai pengumuman berkenaan telah dihantar oleh pihak KRU Studios kepada pihak media pada petang Khamis.

Majlis berkenaan akan diadakan pada pukul 10.30 pagi di Hotel Marriott, Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan KRU Studios, Norman Abdul Halim yang juga abang kepada Yusry ketika dihubungi bagi mengesahkan perkara itu hanya ketawa dan memberitahu akan menjelaskan perkara sebenar kepada pihak media pada hari berkenaan.

“Ia merupakan satu pengumuman istimewa dan pastinya ia akan diberitahu pada majlis nanti. Kalau saya beritahu sekarang tak ada kejutanlah,” katanya berseloroh.

Pada pengumuman itu nanti, ibu bapa Yusry iaitu Abdul Halim dan Zarina Fenner serta ibu Lisa, Siti Amira Ahmad juga akan turut serta.

Difahamkan Yusry dan Lisa akan bernikah pada awal tahun depan yang mana majlis berkenaan akan mendapat liputan secara langsung menerusi saluran Astro.

Pasangan tersebut sudah mula rapat sejak Mac lalu dan sering berhubungan menerusi telefon bimbit masing-masing sejak setahun yang lepas.

Kemudian kedua-dua mereka membuat pengakuan pertama pada bulan Jun bahawa mereka sedang menjalinkan hubungan lebih daripada seorang kawan dan menganggap ia sebuah perhubungan yang matang.

Jamal Abdillah Keluar Rumah Pengasih

December 23rd, 2011 No comments

Jamal Abdillah Tenang Selepas Keluar Rumah Pengasih

PETALING JAYA: Penyanyi popular Jamal Ubaidillah Ali atau lebih dikenali sebagai Jamal Abdillah mengaku lebih tenang menjalani kehidupan seorang diri selepas meninggalkan rumah perlindungan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), awal November lalu.

Katanya, dia kini menjalani kehidupannya seperti biasa dan sibuk dengan beberapa perniagaan yang dijalankan.

“Saya berasa lebih tenang menjalani kehidupan seharian saya berbanding ketika berada “di dalam” (rumah Pengasih). Lagi pula saya tidak mahu menumpang terlalu lama di rumah orang,

“Insya-Allah selepas rumah saya siap awal tahun depan saya akan memulakan hidup baru di sana,” katanya ketika ditemui di majlis minum petang bersama Jamal Abdillah, di sini, Khamis.

Jamal diminta mengulas tentang tindakannya keluar dari rumah Pengasih yang telah diduduki lebih lima tahun.

Bagaimanapun, dia enggan menjawab tentang tuduhan pengerusi Pengasih yang kecewa terhadap sikapnya sepanjang berada di rumah perlindungan tersebut.

“Saya mempunyai bukti yang kukuh terhadap sumbangan saya kepada Pengasih jika dia mendakwa saya tidak mempunyai apa-apa sumbangan.

“Namun ini bukan masa yang sesuai, mungkin nanti saya akan adakan satu sidang media untuk menjelaskan perkara sebenar,” katanya.

Tambahnya, tuduhan yang dilemparkan pihak pengasih sedikit sebanyak memberi tekanan dan menjejaskan reputasinya sebagai seorang artis.

“Perkara ini memberi tekanan pada saya dan mengganggu kehidupan saya terutamanya berhadapan dengan tanggapan masyarakat luar dan peminat,” ujarnya.

Anak Didie Alias Dapat 8A PMR

December 23rd, 2011 No comments

PMR: Didie Alias Bangga Anak Dapat 8A

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Didie Alias menganggap kejayaan anak ketiganya, Nur Dinie Ridzuan, 15, merangkul 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai satu hadiah paling istimewa buat dirinya.

Didie Alias berkata kejayaan anaknya dalam PMR yang diumumkan Khamis itu bagaikan pengubat kepada semua hasil penat lelahnya selama ini.

“Ketika nama Nur Dinie diumumkan di dewan Sekolah Kebangsaan Bukit Indah, Ampang, saya sendiri terkejut dan tidak percaya kerana hanya tiga orang sahaja yang diumumkan mendapat 8A.

“Sebagai seorang ibu sudah tentu ada perasaan bangga dan ini merupakan hadiah paling istimewa buat saya. Biar apa juga orang ingin kata tentang saya namun kejayaan ini membuktikan saya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dengan baik,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Ditanya tentang kunci kejayaan anaknya, Didie berkata dia sentiasa memantau pembelajaran setiap anaknya biarpun sibuk dengan kerjaya.

“Saya tidak nampak dia belajar 24 jam tetapi saya yakin dia menumpukan perhatian sewaktu di sekolah selain mengikuti kelas tambahan di luar waktu sekolah.

“Sebagai ibu sudah tentu saya pantau setiap perkembangan persekolahan dan prestasi akademiknya dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Sementara itu, jelas Didie dia masih belum merancang sebarang hadiah sebagai ganjaran atas kejayaan tersebut.

“Saya tidak janjikan apa-apa pada dia dan dia juga hanya minta doa dari saya untuk berjaya cemerlang PMR ini,” katanya.

Selain Nur Dinie, Didie juga mempunyai empat lagi cahaya mata hasil perkahwinan pertamanya dengan pelakon Ridzuan Hashim iaitu Nur Dania, Muhammad Daniel dan Nur Diyana dan Nur Dayini.